Pekerja pembinaan jambatan dikhuatiri lemas

Pekerja pembinaan jambatan dikhuatiri lemas

 

Pekerja pembinaan jambatan dikhuatiri lemas ketika bermandi-manda bersama rakannya di Sungai Perak dekat Kampung Sawa, Gerik berhampiran lokasi jambatan yang sedang dibinanya, petang tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dalam kenyataannya berkata, pihaknya kini menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang dikenali sebagai Nabil Haikal Nazarrudin, 21.

Menurut kenyataan itu, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan 5.44 petang tadi bagi membantu polis.

Katanya, mangsa dipercayai lemas berdasarkan maklumat daripada rakan mangsa yang turut mandi di sungai berkenaan ketika kejadian.

“Mangsa didapati hilang ketika mandi, justeru operasi pencarian sedang dijalankan.

“Mangsa juga adalah pekerja membuat jambatan di lokasi terbabit,” katanya, sebentar tadi.