Pekerja lebih 60 peratus, kilang padi dikompaun RM10 ribu

Pekerja lebih 60 peratus, kilang padi dikompaun RM10 ribu

Sebuah kilang memproses padi dikompaun RM10,000 selepas didapati kehadiran pekerja melebihi 60 peratus dalam Op Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) 3.0 sekitar Daerah Hilir Perak di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, seorang majikan dan seorang pekerja masing-masing dikompaun RM1,500 dan RM500 kerana tidak mempunyai lesen menjalankan perniagaan dalam premis serta gagal mengimbas kod melalui aplikasi MySejahtera.

Menurutnya, tindakan itu diambil ketika pemeriksaan membabitkan 19 premis di sektor perkilangan dan pembuatan sekitar Teluk Intan dan Langkap.

“Bagaimanapun, enam premis didapati ditutup. Operasi bertujuan memastikan sektor terlibat mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Selain penguatkuasaan SOP, kita turut memberi nasihat dan cadangan kepada pihak sektor pengilangan menambah baik pengurusan pencegahan jangkitan Covid-19 dalam kalangan pekerja,” katanya.

Menurutnya, kadar pematuhan sektor terbabit terhadap SOP meningkat 80 hingga 90 peratus.

“Dalam operasi yang berlangsung selama empat jam itu mendapati tiada kilang atau syarikat yang beroperasi tanpa kebenaran atau diarahkan tutup.

“Pengurusan kilang juga dinasihati memahami serta mengamalkan SOP diberikan oleh MITI yang dikemaskini pada 2 Jun lalu,” katanya.

Operasi bermula jam 11 pagi itu membabitkan 62 pegawai dan anggota dari polis, MKN, Pejabat Kesihatan Daerah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Majlis Perbandaran Teluk Intan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Sumber: Sinar Harian