Pekerja ladang ditahan jual rokok seludup

Pekerja ladang ditahan jual rokok seludup

Lelaki berusia 20-an itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah bersama anggota Balai Polis Polis Kampung Gajah pada 10.10 malam.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, lelaki asing itu dipercayai menjalankan perniagaan runcit secara kecil-kecilan dalam rumah kongsi serta menjual rokok seludup kepada pekerja asing di ladang itu.

Beliau berkata, pemeriksaan menemui 189 karton rokok pelbagai jenama disembunyikan dalam lima kotak di rumah berkenaan.

“Siasatan mendapati suspek menerima bekalan daripada beberapa pembekal rokok seludup dari daerah jiran tiga kali sebulan.

“Suspek mengakui mengambil kesempatan atas faktor lokasi ladang tempatnya bekerja yang agak jauh dari kawasan pekan berhampiran untuk menjual rokok seludup dengan berselindung di sebalik perniagaan runcit kecil-kecilan di rumah kongsi di ladang tempat tinggalnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Barudin berkata, polis sedang mendapatkan pengesahan lanjut mengenai status dokumen suspek dengan Jabatan Imigresen Malaysia.

Beliau berkata, suspek direman dua hari bermula hari ini hingga esok untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

“Polis sedang mengesan pembekal rokok itu bagi membanteras sindiket yang mendalangi kegiatan membekal rokok seludup masuk ke kampung dan ladang sawit di daerah ini.

“Orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan itu kepada Bilik Gerakan IPD Perak Tengah di talian 05-3712222,” katanya.

Sumber: https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2021/01/661370/nak-untung-sikit-rugi-pulak-gayanya