Pekerja kilang maut terjatuh dalam mesin proses sawit

Pekerja kilang maut terjatuh dalam mesin proses sawit

 

Seorang pekerja kilang maut selepas dipercayai terjatuh dalam mesin ‘fuel conveyor’ di sebuah kilang sawit, Taman Perindustrian Bidor di sini pada Selasa.

Dalam kejadian sekitar jam 7.30 pagi itu, mangsa dikenali sebagai S Ganesen, 49, disahkan maut akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, siasatan awal mendapati mangsa terjatuh dalam mesin dengan ketinggian 4.5 meter.

“Tempat kejadian merupakan kilang memproses kelapa sawit yang telah beroperasi selama 25 tahun dan mangsa bekerja sebagai operator mesin sejak sembilan tahun.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Tapah untuk dibedah siasat,” katanya.

Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut berikutan kejadian itu tidak melibatkan sebarang unsur jenayah.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak memaklumkan menerima maklumat kejadian mangsa tersepit dalam mesin di lokasi kejadian.

“Anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Bidor bertindak mengangkat mayat mangsa setelah bilah ‘conveyor’ dipotong oleh pihak kilang.

“Operasi mengambil masa hampir dua jam dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.