Pekerja kilang kondom dikompaun RM2,000 tak imbas MySejahtera

Pekerja kilang kondom dikompaun RM2,000 tak imbas MySejahtera

Sebuah kilang plastik di Tronoh dikompaun RM10,000 kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 iaitu gagal mewujudkan Pasukan Pemantauan Covid-19 (ERT).

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, tindakan ke atas kilang tersebut diambil menerusi operasi bersepadu yang dijalankan pada pukul 11 pagi.

Katanya, kegagalan kilang berkenaan melaksanakan ERT selaras dengan Peraturan-peraturan di bawah Seksyen 342 Kementerian Kesihatan (KKM) membolehkan premis itu dikenakan tindakan kompaun.

“Keperluan mewujudkan ERT adalah antara SOP yang perlu dipatuhi pemain industri pembuatan dan perkilangan sepanjang beroperasi dalam tempoh PKP.

“Oleh itu, setiap syarikat perlu ada pasukan bertindak mereka sendiri yang dilantik oleh majikan bagi penyediaan dan pelaksanaan tatacara mengurus kes-kes kecemasan sekiranya berlaku jangkitan di dalam kawasan kilang,” katanya ketika ditemui selepas melakukan pemeriksaan dan pemantauan terhadap pematuhan SOP PKP di Kawasan Perindustrian Bemban, di sini hari ini.

Operasi bersepadu itu disertai PDRM, KKM, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Majlis Daerah Batu Gajah (MDBG).

Mengulas lanjut Mohamad Roy berkata, kompaun RM10,000 turut dikeluarkan ke atas sebuah kilang mesin di lokasi sama kerana tidak menyediakan buku data rekod.

Katanya, kompaun RM2,000 pula dikeluarkan kepada seorang pekerja kilang kondom di Bemban atas kesalahan tidak melakukan imbasan MySejahtera.

“Berdasarkan operasi dan pemeriksaan yang dijalankan, boleh dikatakan 90 peratus pematuhan telah dibuat oleh pihak majikan selain beroperasi dengan kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Kehadiran pekerja ke kilang juga mematuhi SOP bagi bahagian operasi dan pengurusan iaitu di bawah kadar 60 peratus daripada jumlah pekerja,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, masih ramai dalam kalangan orang awam ingkar SOP yang ditetapkan kerajaan terutama tidak memakai pelitup muka di tempat awam dan tidak melakukan imbasan MySejahtera ketika memasuki premis.

“Kita lakukan pemantauan secara harian dan setiap hari kita dapati masih ada kesilapan sama dilakukan yang boleh dikenakan tindakan kompaun,” katanya.

Sumber: Utusan