Pejabat Sultan Perak lapor polis petikan titah lama ditularkan, dikaitkan konteks salah

Pejabat Sultan Perak lapor polis petikan titah lama ditularkan, dikaitkan konteks salah

 

Pejabat Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Perak membuat laporan polis berhubung kenyataan yang ditularkan mengenai sebahagian kecil titah diraja oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang dilihat mengaitkan dan mengheret kedudukan baginda bagi tujuan menghidupkan bara perkauman dan keagamaan.

Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Jeneral Datuk Seri Diraja Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin, berkata laporan polis dibuat oleh Pejabat DYMM Sultan Perak semalam, demi melindungi nama baik Sultan Nazrin daripada diheret dan dicemari oleh mana-mana pihak untuk memenuhi agenda sama ada tersurat mahupun tersirat.

Katanya, kenyataan berunsur perkauman itu ditularkan atas nama ‘Amanah Membina Negara’ dengan dikaitkan konteks yang salah mengenai petikan titah Sultan Nazrin pada 19 tahun lalu.

Baginda ketika itu merupakan Raja Muda Perak dengan gelaran Raja Nazrin Shah bertitah di Kongres Pendidikan Melayu Kedua yang berlangsung pada 27 Mac 2005 di Berjaya Times Square, Hotel & Convention Centre Kuala Lumpur.

Menurutnya, Sultan Nazrin khuatir perbuatan tidak beretika mengeluarkan kenyataan berunsur perkauman dengan mengaitkan secara luar konteks titah yang pernah baginda zahirkan atas nama Raja Muda Perak pada 19 tahun lalu sebagai perbuatan menangguk di air keruh yang tidak bertanggungjawab, membawa kesan langsung boleh menjejaskan ketenteraman awam di negara ini.

“Titah Raja Nazrin Shah (Sultan Nazrin) itu mengandungi 68 perenggan dan 5,748 patah perkataan. Dalam titah itu baginda menzahirkan kupasan terhadap faktor-faktor yang mempengaruhi kelemahan dan kekuatan bangsa Melayu dan pentingnya bangsa bersifat merdeka dan dimerdekakan jiwa, dibebaskan minda, diperkaya dengan nilai-nilai positif, bebas mendaki puncak pengetahuan, bebas menyelami lautan ilmu, serta dibina keyakinan bangsa.

“Baginda menegaskan, agama, pemimpin, keluarga, masyarakat serta ilmu dan pendidikan mempunyai peranan kuat dalam budaya masyarakat Melayu. Baginda memperingatkan agar bangsa perlu berwaspada supaya tidak terlalu cepat terperangkap dan begitu mudah mengulangi ungkapan-ungkapan negatif yang merendahkan martabat.

“Baginda menzahirkan, kanta penilaian yang dipilih akan mempengaruhi nilai yang diberikan kepada bangsa. Apabila kekurangan begitu cepat ditafsirkan sebagai kelemahan, maka padi mula dikatakan lalang, beras pula disangka pasir.

“Baginda mahu rakyat sedar bahawa apabila sesuatu bangsa memilih untuk merendahkan bangsanya sendiri, akan terbukalah jendela yang memberanikan bangsa lain untuk menghinanya. Lalu bangsa akan dipandang fakir, adat budayanya bakal tersingkir,” katanya.

Mohd Zahidi berkata, justeru sepanjang titah itu Raja Nazrin Shah (Sultan Nazrin) tidak sama sekali mengait atau menzahirkan ungkitan terhadap mana-mana kaum di negara ini, maka ketika ini dipercayai adanya pihak yang memilih mahu menghidupkan bara perkauman dan keagamaan hingga ke peringkat mengaitkan titah yang dizahirkan itu secara luar konteks.

Katanya, baginda juga sudah disembah maklum oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai kejadian melempar bom petrol ke dalam kedai serbaneka KK Mart Bidor pada jam 5.35 pagi 26 Mac lalu.

Beliau berkata, Sultan Nazrin menyifatkan perbuatan permulaan yang berlaku itu merupakan petanda yang membimbangkan dan hendaklah diberikan perhatian serius melalui tindakan tegas agar api perkauman segera dibendung daripada merebak meluas.

“Baginda percaya majoriti rakyat Malaysia bersikap rasional, moderat dan mengutamakan hubungan harmoni dan keamanan. Baginda memberikan jaminan untuk memberikan naungan dan lindungan kepada setiap rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan menganut pelbagai agama secara adil dan saksama.

“Ia agar rakyat dapat terus hidup dalam rukun dan damai, sama-sama membina dan membangunkan negara Malaysia yang aman lagi makmur,” katanya.