Peja tekad rampas kembali Perak

Peja tekad rampas kembali Perak

 

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tekad untuk mendapatkan semula pentadbiran kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Beliau berkata, langkah itu bagi menebus kembali urus tadbir kerajaan yang telah diambil alih.

Menurutnya, pentadbiran PN di Perak sebelum ini telah mengendalikan kerajaan yang stabil hingga berjaya mendapatkan lebihan dalam Belanjawan Negeri dan menyelesaikan masalah hutang syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

“Seingat saya di Perak, belum pernah lagi ada kerajaan negeri beri bonus kepada semua penjawat awam sebanyak sebulan gaji selama dua tahun berturut-turut.

“Kitalah juga yang memulakan pemberian kad prihatin rakyat untuk ringankan beban rakyat susah.

“Rakyat Perak nampak mesej apa yang PN bawa, sebagai sebuah parti yang amalkan politik perkhidmatan, membantu rakyat susah untuk pastikan masa depan anak cucu terjamin.

“Untuk PRU15 ini, jentera dan kekuatan telah diperkukuh dan kami di sini bersedia nak rampas kembali pentadbiran Perak,” katanya, menurut laporan Sinar Harian.

Pengerusi PN Perak itu berkata, pembahagian kerusi komponen antara Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Pas dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) di negeri ini telahpun selesai.

Katanya, rundingan bersama Pesuruhjaya Pas negeri, Razman Zakaria dan Pengerusi Gerakan, Datuk See Tean Seng itu dapat dilakukan dalam suasana yang baik dan lancar.

“Perundingan pembahagian kerusi kalangan komponen PN Perak telah selesai 100 peratus.

“Alhamdulillah, rasa syukur sangat kerana kalau Peja (Ahmad Faizal) dengan Pak Teh (Razman) dan Datuk See, kerja kami erat macam adik beradik hingga di setiap kawasan dapat diselesaikan.

“Kita sedia pertahankan kerusi-kerusi yang sedang dipegang dan akan menambah lagi (kerusi menang) supaya dapat tubuh kerajaan pula di Putrajaya,” katanya.

Timbalan Presiden Bersatu itu turut melahirkan bangga, apabila PN Perak menjadi negeri pertama dapat menubuhkan jawatankuasa di semua peringkat Parlimen.

“Bukan rahsia lagi esok lusa nak dibubarkan Dewan, mungkin DUN Perak pun nak dibubarkan juga.

“Hari ini kita baru nak lancarkan, tetapi tidak mengapa kerana kita sudahpun bergerak dengan begitu kuat dan erat sejak lebih dua tahun lalu,” katanya.

Pelancaran PN Perak telah disempurnakan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Turur hadir, Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad, Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai dan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Muhyiddin (duduk tengah) pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat PN Negeri Perak di Pejabat PN Perak, Pusat Perniagaan Simee. -Foto Bernama