Peja ampunkan semua pengkritik, janji pulangkan gaji RM27,227.20

Peja ampunkan semua pengkritik, janji pulangkan gaji RM27,227.20

 

Menteri Belia dan Sukan Ahmad Faizal Azumu berjanji akan memulangkan semula gaji penuh sebulan berjumlah RM27,227, termasuk bayaran pro rata 11 hari yang diterimanya ketika bertugas sebagai penasihat bekas Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Presiden Bersatu itu bagaimanapun rasa sedikit terkilan kerana tidak diberi ruang menjelaskan perkara sebenar iaitu hasratnya menyumbangkan gaji yang diterimanya itu kepada tabung bencana Covid-19.

Katanya, beliau tidak berkecil hati dan marah dengan pihak yang mempersoalkan pendapatannya itu, malah beliau bersetuju perkara itu dibangkitkan di Parlimen minggu lalu demi memastikan ketelusan urus tadbir kerajaan.

“Saya bersetuju dengan mereka, kerana saya belum berikan perkhidmatan yang banyak lagi, tetapi menerima pula gaji RM27,000 campur lagi pro rata, mungkin lebih lagi.

“Saya berhasrat memulangkan keseluruhan penerimaan itu kepada tabung Covid-19. Minta maaf, kepada semua yang mengata saya itu, saya ampunkan. Andai saya tersilap cakap, saya mohon ampun,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Minggu lalu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, pembayaran gaji penuh itu adalah gantian notis penamatan perkhidmatan berikutan tempoh perkhidmatan Faizal yang singkat dan tidak cukup sebulan.

Katanya, jawatan itu tidak melibatkan pembayaran pencen.

Ismail berkata demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen selepas Lim Lip Eng (PH-Kepong), meminta beliau menyatakan jumlah gaji diterima oleh Ahli Parlimen Tambun itu sebagai Penasihat Perdana Menteri bertaraf menteri untuk tempoh yang singkat itu.

Lim turut mempersoalkan sama ada terdapat jumlah gratuiti dan pencen bulanan yang beliau layak menerima daripada kerajaan, selain bertanya apa tugas Faizal sebenarnya.

Sumber: FMT