Peguam ini mungkin akan buat tauke kedai yang tampar rider Foodpanda ‘menangis tak berlagu’
“Kak, nah terlebih seringgit ni”, hulur adik yang menghantar makanan Food Panda kepada saya.
“Eh, dik. Apa pula terlebih. Kan RM25.10. Akak bagi RM26 ni. Betul lah kan”.
Dia jawab “Eh, kak. 10 sen je. Takkan saya nak kira kak. Takpelah kak”. Baik hati adik ni. Sampai bagi senyuman, tidak berkira pula.
Saya senyum. “Terima kasih dik. Tak apa, hari ini biar akak yang lebihkan”. Begitulah bertolak ansur. Bagus kalau semua yang begini.
Saya memang selalu pesan Food Panda. Erm, kantoi jarang masak! Haha. Jadual terlalu sibuk kadangkala. Tidak sempat. Jadi Food Panda ini sangat serasi dengan rumah kami. Hujung minggu sahaja kalau sempat masak. (Masih nak cerita yang saya masak. Haha)
Kerana selalu sangat, jadi setiap minggu pelbagai ragamlah rider kami jumpa. Alhamdulilah, semuanya baik-baik belaka. Belum pernah ada pengalaman yang tidak baik.
Sehinggakan anak saya yang baru berusia 2 tahun, seronok sama-sama mengambil penghantaran dari uncle dan aunty Food Panda. “Hai! Abam!”, Nadra suka menyapa mereka. Selalu sapaan anak saya itu disambut mesra oleh rider Food Panda
Setiap kali, saya lebihkan mengikut pesanan yang saya buat dan juga duit tunai yang ada dalam tangan. Ada lebih saya share.
Pernah sekali, saya dihubungi oleh seorang rider “Kak, saya minta maaf ni. Saya bakal lambat. Sebabnya saya dah dapat notification tempahan akak. Saya dah sampai restorannya tapi saya sampai, dia tak siap lagi. Dia suruh tunggu 20 minit. Saya pergi tempat lain dulu ya kak. Lama saya nak tunggu ni”.
“Baiknya kamu bagitahu. Kadang-kadang bila time sibuk akak tunggu sejam lebih dari masa yang ditetapkan. Tapi terima kasihlah ya bagitau supaya akak pun tak tertunggu-tunggu”. Bagus kalau begini.
Pernah sekali, ada saudara-mara datang, saya sehingga buat dua pesanan dari dua restoran. Saya minta pembantu rumah, saya yang bayarkan. Rupa-rupanya tersilap bayar, terkurang pula dalam RM3 kerana keliru dengan restoran lagi satu.
Kemudian rider call saya, baik pertuturannya. Dia mulakan dengan salam “Awak dah terkurang bayar saya RM3”. Saya betul-betul minta maaf, saya minta dia patah balik. Dia kata, tak apa dia halalkan dan dia teruskan dengan pesanan lain.
Saya merayu datang balik kerana entah berapalah satu rumah yang dia dapat. Please!Please! Patah balik. Dia patah balik dan saya berikan lebih daripada itu. Alhamdulilah. Baik-baik semuanya.
Memang tidak patut video rider Food Panda yang kena tampar. Apalah sehingga menampar orang? Menampar orang adalah kesalahan dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan, jadi jika rider itu buat aduan dan kes ini juga tular. Maka yang menampar itu akan boleh diambil tindakan dan dihadapkan ke mahkamah.
Kepada rider-rider diluar sana, terima kasih kerana memberikan khidmat kepada kami. Betapa saya rasa rider-rider begini telah memberikan kesenangan dan kemudahan kepada kehidupan kita yang terlalu sibuk.
Ketahuilah sekiranya rider dikasari, kalian juga punya hak untuk membuat laporan polis. Jika dimaki, diugut, diserang, dilanggar lari, kalian masih juga punya hak. Cuma jangan ambil undang-undang ditangan sendiri dengan sama-sama menyerang. Teruskan bertanya dan ketahui hak kalian, insyallah ada jalannya.
Semogalah kalian sentiasa dilindungi, dielakkan daripada kecelakaan dijalan raya dan sentiasa diberikan rezeki yang murah dan berhadapan dengan penjual dan pelanggan yang baik-baik.
Teruskan usaha kalian mencari rezeki demi untuk diri sendiri dan keluarga! Kalian hebat kerana sentiasa berusaha untuk bekerja.
Yang Benar,
Peguam dan Pelanggan tegar Food Panda
Nor Zabetha