“Pecah rekod 20 tahun MSSD” – Rita Rudaini bangga anak sulung cemerlang olahraga & akademik
Pelakon terkenal, Rita Rudaini bangga apabila anaknya cemerlang akademik dan olahraga selepas berjaya memecahkan rekod Majlis Sukan Sekolah Peringkat Daerah (MSSD) dalam acara pecut 100 meter selepas 20 tahun bahagian Sabak Bernam.
Perkara tersebut dinyatakan sendiri oleh Rita menerusi Instagram berkenaan anak pertamanya, Airit Rayyan Rizqin yang menunjukkan prestasi cemerlang pada hari pertama kejohanan.
Ujar pelakon itu lagi, Rayyan telah mencipta rekod baru untuk acara lari 100 meter apabila mencatatkan 11.44 saat sekaligus memadamkan rekod terpantas yang pernah diperoleh pada 20 tahun lalu iaitu 11.58 saat.
“Ryan dpt pecah rekod 20thn MSSD sabak bernam 100m dgn rekod baru 11.44 (rekod lama tahun 2004 11.58s )” tulisnya.
Rita juga menyatakan rasa bangganya terhadap kejayaan anak apabila bukan sahaja cemerlang dalam olahraga tetapi turut menerusi akademik apabila pernah meraih pointer 3.99 beberapa bulan lalu di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Besar, Selangor.
“Alhamdulillh, rezeki Ryan dpt wakil peringkat MSS..Ryan dah banggakan mommy dalam pelajaran, ni dalam sukan olahraga pula…Insya Allah mommy sokong!” ujarnya lagi.
Perkongsian daripada pelakon drama Racun Rihanna itu telah mendapat perhatian ramai dan rata-rata mengucapkan tahniah kepada anaknya yang cukup membanggakan ibu tersayang.
Mereka juga mengucapkan selamat berjaya kepada Rayyan untuk acara seterusnya dan berharap supaya dia memperoleh kemenangan.
Sekadar info, Airit Rayyan Rizqin merupakan anak kepada Rita Rudaini dan bekas pemain bolasepak kebangsaan, Aidil Zafuan sebelum mereka berpisah pada tahun 2013.
Mereka juga dikurniakan seorang lagi anak ketika masih sebagai suami isteri iaitu Airit Qaqa Arjuna yang kedua-duanya kini dibawah jagaan Rita.