Pearly Tan-M Thinaah cipta sejarah mara ke separuh akhir Olimpik

Pearly Tan-M. Thinaah melakar sejarah tersendiri apabila dengan penuh bergaya melangkah ke separuh akhir Sukan Olimpik 2024 Paris sebentar tadi.
Detik penuh bersejarah itu hadir selepas mereka berjaya mengenepikan cabaran pasangan ranking ke-10 dunia, Kim So Yeong-Kong Hee Yong dalam yang berlangsung di Porte de La Chapelle Arena.
Ia sekali gus menjadikan mereka sebagai pasangan beregu wanita pertama negara yang akan mengecapi nikmat beraksi di pentas separuh akhir sekali gus meneruskan impian bagi memburu pingat emas temasya paling berprestij itu.
Mempamerkan aksi cemerlang ketika di peringkat kumpulan, Pearly dan Thinaah jelas berada di mood terbaik untuk meneruskan konsistensi mereka setelah mendahului 11-5.
Prestasi baik anak buah Rexy Mainaky dan Hoon Thien How itu berterusan dengan kemenangan set pertama 21-12 yang dicatatkan dalam tempoh masa 17 minit.
Pasangan Korea itu cuba untuk memberikan tentangan lebih sengit pada set kedua dengan aksi kejar-mengejar mata dijelmakan sejak awal permainan.
Bagaimanapun ia tidak menghalang Pearly Tan-M. Thinaah untuk memegang kelebihan 11-8 pada rehat ‘interval’.
Walaupun diberikan saingan pada lewat aksi, Pearly-Thinaah tenang menyerap tekanan hingga membuatkan lawan mereka kerap melakukan kesilapan sekali gus mengesahkan kemaraan ke separuh akhir dengan mata 21-13.
Menanti mereka di separuh akhir nanti ialah pasangan beregu nombor satu dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan yang menundukkan wakil Bulgaria, Gabriela Stoeva-Stefani Stoeva 21-15, 21-8.