“Patutla alah makin hilang, rupanya..” – Tiada rezeki anak kembar tiga, Kieda Crepe alami keguguran
Usahawan pencuci mulut, Khalieda Yusra atau lebih dikenali Kieda Crepe alami keguguran selepas memaklumkan dirinya hamil kembar anak tiga pada 7 Julai lalu.
Khabar duka itu dikongsikan oleh Kieda menerusi hantaran di media sosial, hari ini.
Dalam hantaran tersebut, usahawan kelahiran Pulau Pinang itu berkongsi laporan gambar imbasan ultrabunyi kandungannya.
Apa yang membuatkan dia dan suami sedih apabila dimaklumkan bayi dalam kandungan sudah tiada.
Menurut Kieda, dia mempunyai masalah kantung terbalik yang menyebabkan kesukaran untuk memeriksa keadaan bayi dalam kandungan.
Difahamkan, pada mulanya degupan jantung bayi masih didengari namun apabila dia pergi untuk pemeriksaan seterusnya degupan jantung bayi sudah tidak ada.
“Patutlah alah semakin hilang, rupanya jantung baby sudah berhenti. Anak-anak ibu sudah tinggalkan ibu,” kongsinya.
Kieda juga mengucapkan terima kasih kepada ‘triplet‘ kerana hadir di dalam rahim walaupun hanya 10 minggu 6 hari.
Meskipun kehilangan tiga bayi dalam kandungan, Kieda tetap kuat dan redha dengan segala ujian yang diberikan kepadanya dan suami.
Meninjau di ruangan komen, jelas kelihatan terdapat segelintir warganet meninggalkan komen negatif sebaik sahaja Kieda mengumumkan berita kegugurannya.
Menurut mereka, janin dalam kandungan Kieda gugur disebabkan sikapnya yang menghebahkan berita baik itu pada peringkat awal kehamilan.
Pun begitu, Kieda berkata ia tidak mempunyai kaitan, sebaliknya apa yang berlaku telah ditetapkan.
“Allah cakap bukan rezeki, tetap bukan rezeki. Berlapang dada dan jangan benak coq ubi sangat komen tu.
“Hormat perasaan orang sama,” katanya.
Terdahulu, Kieda telah memberitahu bahawa dirinya hamil anak ketiga dan menganggap perkara tersebut adalah rezekinya setelah rumah dipecah masuk sehingga kerugian ratusan ribu ringgit.
Dia dan suami telah menanti selama lima tahun untuk mendapatkan cahaya mata ketiga dan perkara itu dimakbulkan oleh Allah S.W.T apabila mendapati alat ujian kehamilan yang dilakukan menunjukkan tanda dua garis.