Patuh titah Agong dan Raja-Raja Melayu, pemimpin Umno, Dap beritahu Mahiaddin

Patuh titah Agong dan Raja-Raja Melayu, pemimpin Umno, Dap beritahu Mahiaddin

Pemuda Umno mendesak kerajaan segera membahaskan Pelan Pemulihan Negara dan Ordinan Darurat sebaik Parlimen dibuka supaya isu rakyat dalam berdepan pandemik Covid-19 dapat dibawa secara rasmi dan didengar.

Ketuanya Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ia termasuk pelbagai permintaan yang disuarakan rakyat termasuk bantuan tambahan ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP), moratorium automatik, i-Sinar 2.0, i-Lestari 2.0 dan pelbagai aspek pengurusan Covid-19 dan vaksinasi dapat diperhalusi dan diperbahaskan dengan penuh tanggungjawab di Parlimen kelak.

“Pemuda Umno menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu yang menitahkan kerajaan agar segera mengadakan sidang Parlimen tanpa perlu menunggu sehingga Oktober sebagaimana perutusan Perdana Menteri kelmarin.

“Sebagaimana titah Seri Paduka Baginda, Parlimen penting untuk segera bersidang bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ahli Parlimen DAP, Teresa Kok berkata, pihaknya menyambut baik titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu.

“Saya harap kerajaan akan mematuhi titah Raja. Saya juga berharap darurat ditamatkan.

“Semua Ahli Parlimen telah menerima vaksinasi mereka. Parlimen harus disambung secepat mungkin. Tidak boleh memakan waktu begitu lama,” katanya.

Sumber: FMT