Pasca Covid-19 perlu kebijaksanaan kepemimpinan rancang pemulihan – Sultan Nazrin

Pasca Covid-19 perlu kebijaksanaan kepemimpinan rancang pemulihan – Sultan Nazrin

 

Kerajaan wajib mengambil pengajaran daripada pandemik Covid-19 dan merekayasa dasar dan program berkaitan kesihatan, bekalan makanan, pendidikan, kebajikan serta guna tenaga manusia, terutama kebergantungan yang keterlaluan kepada pekerja asing .

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkata, pandemik Covid-19 hendaklah dijadikan loceng amaran, menyedarkan badan-badan antarabangsa di peringkat dunia begitu juga negara tentang kelemahan dan kekurangan yang dialami.

Titah baginda, kerana sikap kealpaan serta kesilapan dasar yang digubal ketika dunia dan negara berada dalam suasana selesa, yang bebas daripada sebarang krisis.

“Negara hendaklah bersedia dan berani melakukan pengauditan untuk menilai kekuatan dan kelemahan aset perkakasan (hardware), aset perisian (software) dan aset sumber manusia daripada segi kuantiti juga kualiti kepakaran, pengalaman  dan kemahiran yang dimiliki.

“Penting disegerakan langkah-langkah penambahbaikan agar negara berada dalam keadaan lebih siap siaga menghadapi krisis pada masa hadapan.

“Bencana yang melanda hendaklah dijadikan pembuka mata untuk mencetuskan pemikiran baharu, memformulasikan kaedah baharu, menerokai pendekatan baharu, meletakkan keutamaan baharu dan memperkenalkan budaya baharu mengurus tadbir negara,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia dan Penganugerahan Darjah Kebesaran Negeri Perak Sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan baginda yang  ke-65 di Istana Iskandariah di sini hari ini.

Sultan Nazrin bertitah, mengurus dan menangani trauma akibat Covid-19 yang telah melanda rakyat tidak memadai dengan percaturan berbentuk konsep dan angka yang begitu permukaan sifatnya.

Titah baginda, tetapi ia memerlukan kefahaman dan pengertian serta sentuhan insani yang lebih mendalam.

Baginda bertitah,  ketika ini, keutamaan hendaklah ditumpukan kepada dua daripada lima elemen yang terkandung dalam hierarki keperluan yang diperkenalkan oleh ahli psikologi, Abraham Harold Maslow pada tahun 1943.

“Pertama keperluan fisiologi merangkumi makanan, air, pakaian dan tempat tinggal; kedua keperluan keselamatan dan jaminan keselamatan agar rakyat kembali berasa selesa untuk merenangi lautan kehidupan,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai pakej, melibatkan tanggungan kewangan yang besar untuk menangani kesusahan rakyat.

Titah baginda, pelbagai eksperimen diterokai, pelbagai langkah dirintis, pelbagai pendekatan diumumkan untuk bukan sahaja membendung jangkitan virus, lebih utama untuk meyakinkan rakyat dan menggerakkan rakyat agar sama-sama berusaha dan kembali bekerja untuk membangunkan negara.

“Vaksinasi menampakkan cahaya harapan di penghujung terowong tetapi belum memberikan sepenuh jaminan serangan virus telah berjaya ditumpaskan,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah, pasca Covid-19 memerlukan pimpinan dan pengurusan yang dinamik lagi bertenaga, pimpinan dan pengurusan yang memiliki stamina, kekuatan, kesungguhan dan tumpuan merencanakan pendekatan pemulihan yang dapat memberi impak bermakna kepada rakyat, terutama usaha membasmi kemiskinan.

“Kebijaksanaan barisan pemimpin terdahulu, memformulasikan program pembasmian kemiskinan pada era pascamerdeka dan pada era Dasar Ekonomi Baru mula diperkenalkan, hendaklah dijadikan rujukan, panduan dan pedoman,” titah baginda.