Pasaraya AEON Big bakal dijadikan PPV

Pasaraya AEON Big bakal dijadikan PPV

 

Sebuah pusat pemberian vaksin (PPV) dicadangkan untuk dibuka di pasaraya AEON Big Falim di sini dalam usaha mempercepatkan lagi pemberian vaksin kepada penduduk Ipoh.

Jika dipersetujui, ia juga menjadi PPV pertama di negeri ini yang terletak di dalam sebuah pasaraya.

Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Albert Ho berkata, rundingan telah diadakan pihaknya dengan Dewan Perniagaan dan Industri Cina Perak (PCCI) dan AEON Big Falim.

Menurut beliau, lokasi tersebut sesuai dijadikan PPV kerana terdapat kemudahan-kemudahan yang lengkap serta ruangan yang luas

“Lokasi ini juga berdekatan dengan kawasan perumahan yang berpenduduk padat dan kawasan perindustrian.

“Kita yakin bahawa penubuhan PPV di Aeon Big, Falim dapat meringankan beban di PPV lain dan meningkatkan kadar imunisasi khususnya di Perak,” ujarnya.

Susulan rundingan, cadangan dikemukakan kepada kerajaan negeri menerusi Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains dan Alam Sekitar, Mohd. Akmal Kamarudin untuk perbincangan selanjutnya.

Kata Albert, cadangan tersebut kini hanya menunggu persetujuan daripada pihak kerajaan negeri.

Beliau juga amat berharap PPV baru berkenaan dapat ditubuhkan serta menyeru kepada masyarakat agar menghargai pengorbanan yang diberikan oleh petugas barisan hadapan.

Sumber: Kosmo