Pasangan ‘cleaner’ pulang hampa, tuan rumah teres 2 tingkat bayar upah separuh sebab kerja siap cepat

Pasangan ‘cleaner’ pulang hampa, tuan rumah teres 2 tingkat bayar upah separuh sebab kerja siap cepat

Seorang wanita langsung tidak menyangka dirinya bakal dilecehkan hanya kerana memilih untuk bekerja sebagai ‘cleaner’ atau tukang cuci rumah.

Tidak hanya dipandang rendah, wanita berkenaan juga perlu menunggu sehingga tiga jam untuk mendapatkan bayaran daripada pemilik rumah teres dua tingkat itu.

Lebih memburukkan keadaan, pemilik kediaman tergamak membayar upah separuh daripada jumlah yang dijanjikan kepada Shaa Mimi iaitu tukang cuci tersebut.

Pemilik kediaman itu dikatakan enggan membayar jumlah yang sepatutnya kerana Sha Mimi dan suaminya berjaya menyiapkan tugas mereka dalam masa singkat.

Sedangkan, sampah sarap di dalam rumah teres dua tingkat itu sebegitu banyak sehingga penuh apabila dimuatkan ke dalam tong sampah ‘Roll On Roll Off‘ (RORO).

Bukanlah satu pekerjaan mudah untuk membersihkan rumah besar, Shaa Mimi juga terpaksa mengangkat dapur gas yang berat ke dalam tong RORO untuk dibuang.

Meluahkan rasa tidak puas hatinya, Shaa Mimi tampil membuat satu perkongsian yang dimuat naik di laman kumpulan Facebook milik Meru Klang Residents Official.

“Sudah tiga jam saya tunggu bayaran dari tuan rumah ini. Saya ‘cleaner’. Tolong jangan pandang rendah terhadap tukang cuci. Saya orang Malaysia.

“Jadi cleaner demi mencari rezeki halal. Bukan meminta-minta duit percuma. Saya dan suami bersihkan rumah dua tingkat yang penuh dengan sampah. Satu tong RORO.

“Kena angkat pula satu dapur gas yang berat gila untuk dibuang ke dalam tong RORO. Boleh bayangkan tak rumah dua tingkat itu kami cuci sampai licin,” katanya.

Malang tidak berbau, wanita berkenaan turut berkongsi tangkap layar memaparkan usahanya untuk menuntut hak dari pemilik kediaman namun hanya dipandang sepi.

Berdasarkan tangkap layar itu, Shaa Mimi menjelaskan bahawa tugas itu disiapkan dengan cepat kerana dirinya dan suami sudah terbiasa membuat kerja mencuci.

Ujar Shaa Mimi, upah separuh yang dibayar oleh pemilik rumah berkenaan hanya menampung kos minyak, tol, makan dan keperluan tanpa sebarang keuntungan.

“Satu tong RORO, kak. Saya cleaner jadi sudah biasa buat kerja macam ini. Memang akan cepat siap. Sebab kami sudah tahu kaedah untuk siapkan kerja dengan cepat.

“Bayaran saya ambil juga sebab nak tanggung kos minyak, tol, makan, dan beli alat keperluan mencuci. Memang kerja ini mungkin nampak mudah di mata orang lain.

“Tetapi bukan untuk cleaner sebab kami perlu ‘bermain’ dengan habuk, sawang, bulu kucing dan sampah yang berat,” jelas Shaa Mimi memohon pengertian dari pemilik.

Langsung tidak berniat untuk meraih simpati orang ramai, Shaa Mimi hanya berharap agar pekerja pembersihan sepertinya tidak lagi dipandang hina oleh masyarakat.

“Saya redha. Saya halalkan tenaga saya.” Tulisnya mengakhiri luahan tersebut.