Pasangan bersekedudukan hingga lahirkan tujuh zuriat

Pasangan bersekedudukan hingga lahirkan tujuh zuriat

 

MENGEMUKAKAN bermacam dokumen dan mengisi pelbagai borang dari pejabat agama sudah menjadi prosedur buat bakal pengantin yang bakal melangsungkan perkahwinan.

Dokumen seperti sijil nikah ibu bapa adalah amat mustahak bagi menentukan nasib bakal pengantin serta urusan penentuan wali.

Pendedahan oleh seorang pengguna TikTok @Tokadi Hipster amat mengejutkan apabila bakal pengantin memberitahu ibu bapanya tidak memiliki sijil nikah sebaliknya hanya surat akuan sumpah.

“Kamu anak ke berapa, emak dan ayah mana? Ada datang tak?”

Difahamkan wanita berkenaan anak keempat dalam keluarganya. Pihak pejabat agama terpaksa memanggil kedua ibu bapa wnaita berkenaan untuk menyelesaikan isu nasab.

“Tuan puan dahulu nikah di mana? Siapa wali dan surat nikah di mana?

“Tolong jujur dengan saya, jangan menipu. Saya nak bantu anak nikah ni.

“Bab menentukan nasab ini susah sebab ia melibatkan hukum nikah anak. Kalau menggunakan wali yang salah, nikah anak tidak sah. Siapa hendak tanggung?” tulisnya.

Alangkah mengejutkan apabila pasangan tersebut mengaku tidak pernah berkahwin.

“Kami bersekedudukan sahaja, sekarang kami ada tujuh orang anak,” tutur pasangan itu yang terpaksa membongkar rahsia lama.

Menurutnya, susulan daripada itu anak pasangan berkenaan terpaksa dinikahkan dengan berwalikan hakim kerana statusnya sebagai anak tidak sah taraf.

Malah, dia turut menasihatkan pasangan itu untuk turut bernikah.

Difahamkan anak pertama hingga keempat pasangan berkenaan bersekolah manakala yang kelima, keenam dan ketujuh tidak bersekolah. Malah sijil kelahiran juga tiada.

Lebih menakutkan, menurutnya ia adalah kisah benar dan sudah banyak ditemui.

“Umpama khayalan tapi hakikatnya ada (ia wujud) dan banyak.

“Sukar hendak menerima oleh kita yang faham agama dan hukum-hakam,” katanya.

Dalam pada itu, warga maya turut berkongsi kisah pasangan bersekedudukan yang berlaku di sekeliling mereka.

Peranan wali dalam pernikahan amat penting kerana ia merupakan salah satu daripada rukun nikah.

Sekiranya pernikahan dilaksanakan tanpa wali ia adalah tidak sah dari segi hukum syarak. Wali hendaklah terdiri daripada orang yang berkelayakan mengikut hukum syarak.