PAS tak perlu masuk campur urusan UMNO – Saarani

PAS tak perlu masuk campur urusan UMNO – Saarani

 

PAS tidak perlu mencampuri urusan UMNO berhubung pengguguran Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman daripada Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad hasrat PAS menawarkan kerusi Parlimen Pasir Salak kepada Tajuddin atas tiket Perikatan Nasional (PN) satu bentuk provokasi.

Katanya, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria mesti faham Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempunyai hak melantik 13 pemimpin MKT atas budi bicaranya.

“PAS ini, nakal sikitlah. Sebenarnya dalam keadaan dia (PAS) kata dia tidak akan mencampuri urusan UMNO, tidak perlulah menawarkan itu sebab akan timbulkan provokasi, kemarahan, dan pelbagai reaksi lain.

“Pada saya, bila kamu (PAS) kata tidak akan campuri parti orang lain, berhentilah setakat itu saja,” katanya kepada pemberita ketika menghadiri pelepasan peserta Edisi 5 Kejohanan Rogaining 2022 Lenggong di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Komunikasi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak, Nurmalis Musa.

Saarani berkata demikian semasa mengulas laporan portal berhubung pelawaan Razman yang antara lain membayangkan mungkin Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak, tidak diberi peluang bertanding semula kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), mewakili BN.

Saarani berkata, pengguguran Tajuddin dari MKT UMNO perkara biasa kerana keadaan sama terjadi kepada Setiausaha Agung UMNO kini, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika UMNO diterajui Datuk Seri Najib Razak jawatannya sebagai Ketua Penerangan UMNO digantikan oleh Tan Sri Annuar Musa.

Saarani yang juga Menteri Besar Perak, berkata Ahmad Zahid ada hak melantik 13 individu di dalam MKT, termasuk menggantikan ahlinya.

“Kena ingat ahli MKT UMNO ada dua kumpulan, iaitu mereka yang menang dipilih oleh perwakilan bertanding dalam Perhimpunan Agung UMNO dan mereka yang dilantik sendiri oleh presiden parti, termasuk Setiausaha Agung, Ketua Penerangan, dan Bendahari.

“Sudah tentu dia (Presiden) melantik orang tertentu yang pada pendapatnya orang itu boleh membantu parti, termasuklah perlantikan saya sendiri atas ihsan presiden parti,” katanya, lapor Berita Harian.

Saarani berkata, pengguguran Tajuddin tidak perlu disensasikan kerana keikhlasan membantu parti lebih terserlah, jika tidak terikat dengan jawatan tertentu.