Pas puji Umno, anggap kenyataan Tajuddin amat tepat

Pas puji Umno, anggap kenyataan Tajuddin amat tepat

PAS menyifatkan kenyataan Pengarah Pengarah Pilihan Raya Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bahawa parti itu tidak perlu mendesak kerajaan mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam waktu terdekat, amat tepat dan kena pada masanya.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata ini kerana fokus seluruh jentera Kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri sekarang adalah bagi memerangi pandemik Covid-19 yang masih belum reda.

“Begitu juga parti-parti politik turut sama menumpukan kepada usaha membantu rakyat yang terkesan teruk dengan wabak ini bukan sahaja dalam aspek kesihatan tapi juga aspek ekonomi.

“Justeru itu PAS turut menyeru semua pihak terutama parti-parti politik dan NGO tanpa mengira fahaman dan aliran pemikiran agar sama-sama dapat membantu kerajaan mengurus dan menyelesaikan wabak yang merupakan darurat besar ini.

“Ini sekali gus bermaksud isu-isu yang boleh menimbulkan ketegangan, keburukan dan kerugian masa, tenaga dan kewangan wajar dielakkan semaksima mungkin,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Takiyuddin menambah, PAS yakin kerajaan akan terus mengambil langkah proaktif dengan mengambil kira pandangan dan cadangan semua pihak bagi memastikan
kebaikannya dirasai seluruh rakyat dan penduduk Malaysia.

Semalam, Tajuddin dilaporkan berkata parti tidak perlu mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) supaya mengadakan PRU15 dalam waktu terdekat ini kerana jika diteruskan, ia hanya menyukarkan usaha memerangi penularan Covid-19.

Justeru itu, beliau menyeru ahli Umno membantu kerajaan dalam usaha memberi fokus mencegah, memerangi serta mengurangkan risiko kadar kebolehjangkitan Covid-19.

“Saya sebagai Pengarah Pilihan Raya Umno, komited untuk terus membantu kerajaan menjayakan agenda negara dan membebaskan rakyat dan negara daripada pandemik ini.

“Peranan jentera pilihan raya Umno di negeri dan Parlimen yang bersedia hadapi PRU15 pada waktu ini, seharusnya digembleng untuk membantu kerajaan mengekang Covid-19,” katanya.

Sumber: Malaysiapost