Pas Perak nafi bangunan diconteng sepertimana tular di media sosial
Pas Perak menafikan gambar kononnya pejabat perhubungan parti itu di Medan Istana di sini diconteng sepertimana tular di media sosial.
Ketua Penerangan Pas negeri, Hafez Sabri berkata, berdasarkan situasi terkini pada Sabtu, pejabat berkenaan masih dalam keadaan baik tanpa sebarang kesan vandalisme.
Menurutnya, gambar tular sepertimana dimuat naik seorang pemilik akaun Twitter itu disifatkan cubaan untuk melakukan provokasi murahan dan fitnah jahat.
“Pas Perak melahirkan rasa kesal atas tindakan tidak bertanggungjawab yang dilakukan pihak tertentu ini dan sebaiknya agar kita semua dapat berpolitik secara matang dan sejahtera,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook Pas Perak di sini pada Sabtu.
Gambar tular itu antara lain menunjukkan bahagian papan tanda, pintu dan dinding diconteng dengan kata-kata kesat termasuk menyifatkan Pas sebagai parti ajaran sesat.
Dalam ciapan di Twitter mendakwa kejadian itu mungkin ada kaitan dengan gerakan kempen bendera putih.
Hafez berharap, masyarakat dapat bertenang selepas mendapat penjelasan yang sebenar itu.
“Bersama kita menolak perbuatan fitnah dan tidak bermoral ini,” katanya.
Sumber: Sinar Harian