Pas Perak mohon ampun pada Sultan Nazrin

Pas Perak mohon ampun pada Sultan Nazrin

Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Perak menzahirkan permohonan ampun kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah kerana tidak menghadap baginda pada Selasa lalu ketika kemelut politik negeri.

Mereka ialah ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria; ADUN Selama, Mohd. Akmal Kamarudin dan ADUN Kubu Gajah, Mohd. Khalil Yahaya.

Razman yang juga Pesuruhjaya Pas Perak berkata, ketiga-tiga mereka akan menyerahkan surat permohonan ampun kepada Sultan Perak hari ini.

“Dengan rasa rendah diri, kami menzahirkan permohonan ampun kepada Sultan Perak atas kekhilafan kerana tidak menghadap baginda sebagaimana titah baginda pada Selasa lalu pukul 3 petang.

“Sehubungan dengan itu, Pas Perak akan mengutus surat memohon ampun dan maaf bagi menzahirkan permohonan ampun kepada tuanku.

“Pas negeri sentiasa menjunjung tinggi institusi kesultanan negeri Perak dan menumpahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Sultan Perak,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sidang akbar turut dihadiri Mohd. Akmal dan Mohd. Khalil.

Ketika kemelut politik Perak sejak seminggu lalu, tiga ADUN Pas itu membatalkan rancangan untuk mengadap Sultan Nazrin di Istana Kinta di sini pada Selasa.

Razman yang mengulas perkara itu berkata, keputusan berkenaan diambil atas arahan pucuk kepemimpinan parti.

Semalam, Menteri Besar yang baharu, Datuk Saarani Mohamadd melantik lima Exco namun lantikan tidak melibatkan ADUN Pas.

Pelantikan melibatkan ADUN Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin yang juga Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Empat lagi ADUN yang mengangkat sumpah merupakan merupakan Exco sebelum ini yang kesemuanya dari UMNO iaitu ADUN Lintang, Datuk Mohd. Zolkafly Harun; ADUN Rungkup, Datuk Shahrul Zaman Yahya, ADUN Kampong Gajah, Datuk Dr. Wan Norashikin Wan Noordin dan ADUN Bota, Khairul Shahril Mohamed.

Razman adalah antara dua exco dari Pas dalam kerajaan sebelum ini selain Mohd. Akmal.

Mengenai permohonan Pas untuk ADUN parti itu dilantik Exco di bawah kerajaan baharu, Razman berkata, permohonan sudah diajukan kepada Menteri Besar.

Sumber: https://www.utusan.com.my/nasional/2020/12/tiga-adun-pas-mohon-ampun-tidak-menghadap-sultan-perak/