Panggilan telefon tidak berjawab, warga emas ditemukan meninggal dunia

Panggilan telefon tidak berjawab, warga emas ditemukan meninggal dunia

 

Kebimbangan seorang suami selepas isteri tidak menjawab panggilan telefon berakhir duka apabila wanita warga emas itu ditemukan meninggal dunia di Kampung Koh, di sini, hari ini.

Difahamkan, wanita berusia 68 tahun itu tinggal berasingan dengan suaminya kerana menjaga ibunya berusia 80-an yang uzur dan terlantar.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan, Firdaus Mohd Ziker berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 9.16 pagi sebelum sepasukan anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, suami mangsa yang bimbang segera ke rumah mentuanya, namun isterinya itu tidak menyahut apabila dipanggil dan pintu rumah berkunci dari dalam sebelum dia menghubungi bomba untuk bantuan lanjut.

“Bomba segera mengumpil pintu rumah dengan menggunakan peralatan khas selepas mendapat kebenaran daripada polis.

“Mangsa ditemukan terbaring di hadapan pintu bilik air. Pasukan perubatan yang hadir ke lokasi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Katanya, suaminya memaklumkan wanita itu ada mengadu sakit dada semalam.

“Suami mangsa sudah menyuruh isterinya ke hospital namun dia memaklumkan keadaan sudah baik. Ketika kejadian ibunya terbaring di katil di ruang hadapan rumah,” katanya.