Pandelela Rinong dedah bekas jurulatih suka buat lawak lucah

Pandelela Rinong dedah bekas jurulatih suka buat lawak lucah

 

Semalam kecoh di media sosial apabila sedutan rancangan TV tular memaparkan seorang pelakon menceritakan secara terperinci adegan rogol di dalam sebuah filem. Kenyataan yang dikeluarkan pelakon tersebut mendapat kecaman netizen dan juga pengacara serta penerbit rancangan itu juga terima kemarahan netizen.

Lantaran isu tersebut, Pandelela Rinong yang merupakan penerjun negara telah berkongsi kisahnya berdepan dengan bekas jurulatihnya suka buat lawak berunsur lucah. Disebabkan rasa takut terhadap jurulatihnya itu, beliau berdiam diri dan tampil dengan ‘fake laugh’ depan jurulatihnya itu.

Tambahnya, apabila beliau sudah tidak tahan dengan lawak berunsur lucah itu maka beliau pun menegur tindakan jurulatihnya tetapi beliau kena buli selepas itu. Jurulatih tersebut terlibat dalam kes rogol pada 7 tahun lepas.

Menurutnya, setiap tahun jurulatih itu akan ada kes tetapi para atlet tidak dapat berbuat apa-apa kerana jurulatih tersebut di ‘backup’ oleh ketua jurulatih. Para atlet bernasib baik kerana nasib mereka dibela oleh persatuan sukan dan kini mereka selamat daripada ancaman seperti lawak berunsur lucah.

Bukan itu sahaja, Pandelela menegaskan bahawa lawak rogol bukanlah sesuatu yang perlu dibanggakan dan tidaklah kelakar. Malah, beliau mengatakan perkara ini perlu dilawan agar hal seperti ini tidak berlaku lagi.

Isu yang dibangkitkan oleh Pandelela Rinong itu mendapat perhatian Khairy Jamaluddin yang pernah menjadi Menteri Belia dan Sukan satu ketika dahulu, lapor portal Vocket.

Menurut Khairy, walaupun keputusan pihaknya berhubung isu tuduhan itu masih mendapat kritikan tetapi beliau tidak menyesali tindakannya.

Tambahnya, keselamatan atlet meliputi fizikal dan mental untuk atlet kekal bersemangat meraih pingat di sebarang kejohanan.