Panas! Speaker Dewan Rakyat bakal ambil tindakan undang-undang?

Panas! Speaker Dewan Rakyat bakal ambil tindakan undang-undang?

 

YANG Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengesahkan pejabatnya menerima pemberitahu usul-usul untuk beliau mengosongkan jawatan dan supaya individu lain dilantik mengisi jawatan tersebut.

Azhar berkata sebaik menerima usul-usul tersebut, beliau mengutuskan surat kepada semua pengusul bahawa beliau tidak akan sama sekali membuat apa-apa keputusan mengenainya kerana mempunyai percanggahan kepentingan (‘conflict of interest’).

Jelasnya, apa-apa keputusan mengenai usul-usul tersebut diserahkan kepada Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon.

“Saya tidak pernah mengambil bahagian dalam apa cara sekalipun atau campur tangan di dalam apa-apa keputusan mengenai usul-usul tersebut.

“Malah saya tidak tahu menahu mengenai apa-apa keputusan yang mungkin telah dibuat oleh Timbalan Yang Dipertua mengenai usul-usul tersebut,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap laporan Utusan Malaysia bertajuk “15 Usul Tukar Speaker ditolak” bertarikh 1 September 2021.

Menurut Azhar, laporan tersebut antara lain menyebut beliau telah “mengetepikan usul berkenaan daripada dibahas” dan juga yang mempunyai unsur inuendo bahawa usul-usul tersebut ditolak oleh beliau adalah tidak benar.

“Saya anggap (laporan itu) bersifat pembohongan dan fitnah serta dibuat dengan niat untuk menjatuhkan reputasi saya. Saya akan mendapatkan nasihat undang-undang mengenai perkara ini dalam masa terdekat,” katanya lagi.

Sumber: Malaysiapost