Panas! Selepas Kabinet diumum, Zahid baharu keluar hospital adakan mesyuarat MT Umno, lapor portal

Panas! Selepas Kabinet diumum, Zahid baharu keluar hospital adakan mesyuarat MT Umno, lapor portal

 

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang baharu dibenarkan keluar dari hospital mengadakan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam ini sebaik pengumuman barisan Kabinet baharu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob awal hari ini.

Zahid dimasukkan hospital bagi merawat sakit belakangnya dan tidak dapat menghadiri perbicaraan kes mahkamahnya pada 25 Ogos lalu; beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berdepan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Sumber dalaman UMNO memberitahu Agenda Daily Zahid mempengerusikan mesyuarat malam ini dengan dihadiri beberapa pemimpin kanan parti yang lain.

Beberapa Ahli MT dilihat memasuki ibu pejabat UMNO sekitar jam 8.30 malam tadi, antara yang hadir Naib Presiden Datuk Seri Khaled Nordin, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah, Datuk Seri Tajuddin Abd Rahman, Datuk Seri Azeez Rahim dan Datuk Seri Puad Zarkashi.

Untuk rekod, hanya dua Menteri dari kem Zahid dilantik dalam Kabinet baharu hari ini.

Dua Ahli Parlimen (MP) UMNO, Tan Sri Noh Omar dan Datuk Seri Noraini Ahmad yang berada dalam kem Zahid dilantik menjadi Menteri penuh, malah nama Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib Presiden, Khaled tidak tersenarai dalam barisan kerajaan diumumkan hari ini.

Ismail Sabri hari ini mengumumkan barisan kerajaannya dengan mengekalkan jumlah 31 kementerian merangkumi 31 Menteri dan 38 Timbalan Menteri dengan keseluruhan berjumlah 70 orang termasuk Perdana Menteri.

Selain itu, terdapat kementerian masih kekal mempunyai dua Timbalan Menteri antaranya Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan serta Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, barisan Kabinet itu dipilih daripada kombinasi mereka yang berpengalaman, diyakini mampu membantu negara memulihkan ekonomi dengan menyokong usahawan, memudah cara perniagaan dan merancakkan semula aktiviti ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur.

Sumber: agendadaily