Panas! Rumah, kereta mewah bernilai RM1.6 juta milik penguasa kanan SPRM disita

Panas! Rumah, kereta mewah bernilai RM1.6 juta milik penguasa kanan SPRM disita

 

Aset bernilai RM1.6 juta disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan melibatkan tiga pegawainya yang dikaitkan dengan kehilangan barang kes membabitkan wang RM25 juta yang disimpan agensi itu.

SPRM menyita sebuah rumah dan beberapa kenderaan mewah ditemui pegawai penyiasat, antaranya dua motosikal jenis Ducati dan masing-masing sebuah kereta Mercedes Benz dan Honda Type R.

Menurut laporan Utusan Malaysia yang memetik sumber, sitaan tersebut dilakukan terhadap penguasa kanan berkenaan bersama dua lagi pegawainya berpangkat penguasa dan ketua penolong penguasa kanan.

Kes tersebut mula mendapat perhatian selepas pendedahan kehilangan wang RM25 juta milik bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid yang disita SPRM tiga tahun lalu didakwa hilang.

Hasanah sebelum itu didakwa di mahkamah atas tuduhan melakukan pecah amanah melibatkan wang kerajaan bernilai sekitar RM50 juta namun pada April lalu dia dilepas tanpa dibebaskan.

“Siasatan kini tertumpu kepada penguasa kanan berkenaan kerana dia antara individu yang bertanggungjawab menyimpan ex­hibits sesuatu kes yang disiasat.

“Bagaimanapun, SPRM turut memperincikan siasatan bagi melihat rekod pemilikan wang, harta benda membabitkan dua lagi pegawai yang ditahan,” kata laporan portal tersebut yang memetik sumber.

Terdahulu, laporan media juga mendedahkan berhubung penemuan senjata api dan peluru yang dimiliki penguasa kanan berkenaan

Untuk rekod, tiada sebarang kenyataan media dikeluarkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki berhubung isu tersebut.

Laporan Utusan juga berkata satu sidang akhbar khas antara SPRM dan polis akan dilakukan dalam masa terdekat bagi mendedahkan hasil siasatan berhubung kes berpunca daripada kecurian duit RM25 juta yang hilang daripada kawalan SPRM.

Sumber: Agenda Daily