Panas!! Poster ADUN BERSATU calon MB Perak tersebar?

Panas!! Poster ADUN BERSATU calon MB Perak tersebar?

Teka-teki mengenai bakal Menteri Besar (MB) Perak yang baharu semakin panas apabila Armada Bersatu mencadangkan Ahli Dewan Undanganh Negeri (ADUN) Sungai Manik, Datuk Zainol Fadzi Paharudin untuk menduduki kerusi panas itu.

Ketua Armada Bersatu Tanjung Malim, Azirul Syafiq Sazali berkata, akar umbi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak mencadangkan kepada pimpinan untuk menamakan Zainol Fadzi kerana dilihat sebagai calon sesuai berdasarkan pengalaman politik dan pentadbiran.

Menurutnya, jawatan Menteri Besar Perak mesti dikekalkan untuk Bersatu seperti sebelum ini jika UMNO benar-benar mahu gabungan Perikatan Nasional (PN) dikekalkan bersama Pas.

“Kami menyokong penuh Datuk Zainol Fadzi dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang baharu kerana beliau berkelayakan dan pengalaman dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“Kerajaan Perak memerlukan seorang pemimpin yang boleh meneruskan kesinambungan Datuk Seri Ahmad Faizal sebelum ini untuk mentadbir,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Sementara itu, Ketua Armada Kampar, Muhamad Amir Asyraf Mohd Arif turut senada dengan Azirul Syafiq yang mahukan parti mencalonkan Zainol Fadzi sebagai Menteri Besar Perak.

Menurutnya, bukan sahaja pengalaman politik dan pimpinan kanan di dalam parti tetapi Setiausaha Bersatu Perak itu memiliki ketokohan serta kelayakan untuk meneraju pentadbiran kerajaan negeri.

Malah jelasnya, Zainol Fadzi bukanlah asing dalam kalangan ADUN UMNO kerana mereka pernah bersama di dalam pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini selama dua penggal menjadi Exco Kerajaan Perak.

Sementara itu, beberapa poster meminta Zainol Fadzi dilantik sebagai Menteri Besar Perak yang baharu tersebar di media sosial terutama di Facebook ahli Bersatu Perak.

Bersatu kini memiliki lima kerusi di DUN Perak, manakala UMNO menjadi parti paling dominan dengan 25 kerusi.

Bagaimanapun UMNO masih memerlukan sekurang-kurangnya tambahan lima lagi kerusi daripada mana-mana parti lain memandangkan jumlah keseluruhan kerusi DUN di Perak ialah sebanyak 59 kerusi.

Sumber: https://www.sinarharian.com.my/article/113714/BERITA/Politik/[EKSKLUSIF]-Armada-mahu-ADUN-Bersatu-Zainol-jadi-MB-Perak