Panas! Pemuda ini bidas kenyataan bekas menteri KBS, memang padu!

Panas! Pemuda ini bidas kenyataan bekas menteri KBS, memang padu!

 

Reezal boleh pimpin penebusan kegagalan KBS terhadap Ziyad

Arnaz M Khairul

Tatkala peminat sukan negara sedang dilanda emosi dan kekecewaan lantaran pembatalan penyertaan atlet paralimpik Ziyad Zolkefli di Tokyo yang sepatutnya menyumbang pingat emas kedua kontinjen negara, terdetik sedikit nostalgia di hati saya apabila membaca saranan bekas menteri belia dan sukan Reezal Merican Naina Merican semalam.

Reezal menyarankan kerajaan agar Ziyad, yang merupakan juara bertahan Paralimpik bagi acara lontar peluru kategori F20, diberikan imbuhan RM1 juta bawah Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM) seperti dijanjikan kerajaan bagi pemenang pingat emas Olimpik dan Paralimpik.

Kata Reezal, yang kini menteri perumahan dan kerajaan tempatan, Ziyad telah dibenarkan untuk melakukan lontaran dan lontaran dilakukan olehnya direkodkan secara rasmi dan merupakan rekod dunia.

Kenyataan ini perlu dibetulkan, kerana walaupun lontaran Ziyad tiada kesalahan teknikal, ia tidak diiktiraf sebagai rekod dunia kerana penyertaan Ziyad telah dibatalkan lebih awal selepas tidak hadir di ‘call room’ untuk pendaftaran pada waktu diwajibkan.

Atlet istimewa Malaysia itu bersama atlet dari Ecuador dan Australia hanya dibenarkan melakukan lontaran sementara protes terhadap pembatalan daripada ketiga-tiga negara dipertimbangkan oleh juri kejohanan.

Malah Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) sendiri sudah menyatakan kekecewaan mereka kerana menurut peraturan, mereka juga tidak dapat mengiktiraf rekod lontaran 17.94m oleh Ziyad itu sebagai rekod kebangsaan.

Apapun peristiwa ini membangkitkan sedikit nostalgia dalam ingatan saya yang berbalik kepada tanggal 21 September 1998, di mana perhatian seluruh negara dialihkan daripada pergolakan politik besar pada ketika itu ke kaca televisyen (TV) di mana wira negara yang kian dilupakan, pejalan kaki G Saravanan, telah mempersembahkan aksi bersejarah dalam acara 50km jalan kaki di Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur.

Seluruh negara umpama berhenti memberi tumpuan ke kaca TV, di mana bawah panahan matahari terik, pegawai bank yang juga atlet sambilan itu berjuang bermati-matian mengejar pendahulu dari New Zealand dari tempat kedua memasuki babak-babak akhir perlumbaan.

Pejalan kaki dari New Zealand, Craig Barrett akhirnya tumbang akibat dehidrasi tinggal dua kilometer ke garis penamat dan seluruh negara bangkit bersorak menyeru nama Saravanan di setiap langkahnya menuju garis penamat bagi mencatat sejarah sebagai pemenang pingat emas pertama negara dalam acara olahraga setelah 42 tahun pembabitan kita di Sukan Komanwel.

Dan legenda itu menamatkan perlumbaan dengan memecahkan rekod kebangsaannya sendiri serta mencatatkan rekod pertama bagi acara itu di Sukan Komanwel.

Sejurus menerima pingat emas bersejarah itu, Saravanan telah mengumumkan persaraannya, menyatakan beliau hanya bertanding sebagai tugasnya untuk negara dan perlu fokus kepada pekerjaan demi menyara keluarga. Namun, kontroversi melanda selepas itu.

Setiap atlet yang memecahkan rekod di Sukan Komanwel 1998 dijanjikan sebuah kereta Proton Perdana pada ketika itu, namun catatan bersejarah Saravanan pula tidak diiktiraf oleh kerajaan kita sendiri, kerana ia tidak memecahkan rekod, sebaliknya merupakan catatan rekod kerana pertama kali acara itu dipertandingkan.

Langsung tiada pertimbangan terhadap rekod bersejarah emas pertama dalam acara olahraga.

Lantas usaha mengiktiraf dan penghargaan terhadap sumbangan Saravanan telah digerakkan oleh penyokong-penyokong dan pihak swasta untuk menghadiahkannya kereta yang beliau idamkan, iaitu sebuah Honda Civic, walaupun Saravanan sendiri berkata beliau tidak mengharapkan apa-apa, sekadar bangga dapat berbakti kepada negara.

Selang 23 tahun, kita berdepan dengan satu senario yang membangkitkan konotasi menjurus hipokrasi pacuan Reezal.

Ini kerana Reezal harus sedar bahawa pembatalan penyertaan Ziyad adalah kerana kesilapan besar yang harus dipertanggungjawabkan kepada pegawai pengiring atlet F20 (kelemahan intelek) itu yang gagal mematuhi protokol dengan memastikan beliau tiba pada waktu yang diwajibkan seperti yang tertera dalam peraturan.

Peraturan ini bukan dikenakan kepada Malaysia sahaja, tetapi seluruh dunia. Tiada pengecualian.

Tiada jalan pintu belakang dalam apa jua bentuk untuk menghalalkan kesalahan itu di peringkat antarabangsa, lebih-lebih lagi di temasya sebesar Paralimpik. Malah kontinjen Australia yang turut terbabit dengan pembatalan itu, awal-awal lagi telah mengakui dan menyesali kesilapan yang dilakukan pegawai mereka.

Kita juga harus hampa dengan cara kontinjen negara pimpinan Chef De Mission Megat D Shariman Zaharuddin, presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) yang nyata telah mengalihkan pandangan rakyat dengan menutup kesalahan pegawainya dengan menyalahkan protes dari pasukan Ukraine sebagai punca.

Akibatnya ribuan warganet Malaysia yang kurang matang telah menyerang laman-laman media sosial kedutaan Ukraine, Majlis Paralimpik Ukraine dan paling meloyakan, atlet Ukraine Maksym Koval yang memenangi pingat emas, menerima serangan peribadi yang menjijikkan termasuk akaun media sosialnya digodam.

Ini semua gara-gara kepimpinan yang gagal bertindak matang dengan mengakui kesilapan sendiri dan memperbetulkannya.

Malah, Reezal juga harus dipersoal atas kegagalan memantau personaliti yang terbabit dalam kontinjen negara kerana segalanya diputuskan sewaktu beliau masih menteri belia dan sukan.

Bagaimana Megat D Shahriman, seorang pegawai yang sedang digantung pembabitan dalam sukan hoki selama 18 bulan oleh Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) atas kesalahan tatatertib ketika mengemudi Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL), masih boleh diberikan tanggungjawab selaku ketua kontinjen negara ke Paralimpik?

Tanggungjawab dan akauntabiliti perlu dituntut dari barisan pegawai MPM, Majlis Sukan Negara dan KBS, bukannya kantung pembayar cukai negara terus dijarah untuk menghalalkan sesuatu yang patut diiktiraf sebagai kegagalan terbesar mereka di Paralimpik Tokyo dan bukannya satu kejayaan.

Lantas Reezal tidak harus mempergunakan senario ini untuk mengaut mata politik dengan kenyataan populis yang penuh wayang emosi.

Sukan kita tidak akan maju jika kita tidak berhenti menjadi pentas penyumbang mata politik dengan terus-menerus tidak jujur, menafikan kegagalan dan bertindak tegas membetulkan diri kita sendiri.

Namun, mengambil contoh isu Saravanan, cadangan Reezal supaya Ziyad tetap diberikan imbuhan tidak harus ditolak bulat-bulat. Akan tetapi Reezal sepatutnya memimpin kutipan dana dalam kalangan pegawai terbabit dan diberikan kepada Ziyad bagi menebus kesalahan besar mereka kepada atlet itu dan negara.

Langkah itu lebih terhormat dan akan memastikan tiada pendahulu baru dicatat, di mana negara dibebankan dengan saguhati sebesar RM1 juta kepada atlet yang menerima padah akibat kegagalan besar kepimpinan dan kepegawaian.

Sumber: Arnaz M. Khairul