Panas! Pemuda Bersatu ‘serang’ Maszlee Malik
Dr Maszlee Malik didakwa membuat tuduhan tidak berasas terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin menerusi tulisannya dalam sebuah buku baru-baru ini kononnya dipecat kerana desakan daripada mantan Perdana Menteri (PM) itu, walhal faktanya ia berpunca daripada kedegilan dirinya sendiri.
Ketua Penerangan Armada, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir membidas bekas Menteri Pendidikan itu sudah hilang kredibiliti, malah mendedahkan Maszlee ada mengadakan perjumpaan dengan Muhyiddin selepas dilantik menjadi PM sebelum ini yang berkemungkinan mempunyai tujuan tertentu.
“Selepas Tan Sri Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri, dia (Maszlee) datang berjumpa Tan Sri Muhyiddin. Kononnya menyokong Tan Sri Muhyiddin semula.
“Pelik saya dibuatnya. Kalau dia seorang yang berprinsip dan dia yakin Tan Sri Muhyiddin yang menjadi punca dia dipaksa meletak jawatan, kenapa dia datang berjumpa Tan Sri Muhyiddin dan menyokong Tan Sri Muhyiddin pula? Ini satu perbuatan yang pelik,” kata Ashraf dalam satu kenyataan hari ini.
Ashraf membangkitkan perjumpaan Maszlee dengan Muhyiddin tersebut yang berkemungkinan mempunyai tujuan tertentu.
“Melainkan dia datang berjumpa kerana ada tujuan tertentu. Maklumlah pada masa itu Ahli-Ahli Parlimen sedang sibuk menuntut jawatan itu dan ini dalam GLC (syarikat berkaitan kerajaan).
“Adakah ini sebabnya? Saya tidak mahu menuduh,” katanya lagi.
Maszlee juga tidak layak bercakap mengenai soal integriti dan prinsip kerana beliau sendiri juga beberapa kali membuat keputusan yang dilihat ‘flip flop’ atau tidak konsisten, malah bertindak meninggalkan parti Pejuang yang diasaskannya bersama Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Tak lama selepas itu, dia buat pusingan-u sekali lagi. Dia tinggalkan Tan Sri Muhyiddin dan masuk parti Pejuang bersama Tun Dr Mahathir. Dia dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Penaja Parti Pejuang.
“Tetapi ketika Datuk Seri Anwar Ibrahim heboh mendakwa dia ada “strong, convincing and formidable majority”, dia buat pusingan-u sekali lagi. Dr Maszlee yang pada ketika itu masih AJK Penaja Parti Pejuang telah menandatangani Akuan Bersumpah menyokong Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.
“Tindakan dia menyokong Anwar adalah bercanggah dengan pendirian parti Pejuang. Akhirnya dia meninggalkan parti itu dan menjadi Ahli Parlimen bebas,” kata Ashraf lagi.
Mengambilkira perjalanan politik dan keputusan yang tidak konsisten, Ashraf berkata Maszlee sepatutnya cermin dirinya terlebih dahulu sebelum mengakui dirinya seorang yang berprinsip ataupun tidak.
“Saya minta maaf. Saya perhati perjalanan politik Dr Maszlee. Masih belum jauh perjalanannya.
“Tetapi saya nampak jelas kekaburan ‘prinsip’ Dr Maszlee. Adakah dia seorang yang berprinsip atau hanya seorang opportunis?” katanya lagi.
Sumber: agendadaily