Panas! Pelantikan Muhyiddin terancang, PRU15 dijangka sebelum hujung tahun

Panas! Pelantikan Muhyiddin terancang, PRU15 dijangka sebelum hujung tahun

 

“Saya kurang percaya bahawa Najib tidak tahu berkenaan pelantikan Muhyiddin sebelum pengumuman dibuat, malah saya yakin bahawa pelantikan ini dirancang bersama oleh Najib dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi”

Raggie Jessy Rithaudeen

ڤلنتيكن محي الدين ترانچڠ، ڤيليهن راي عموم دجڠك سبلوم هوجوڠ تاهون

Satu Malaysia sedia maklum betapa besarnya pengaruh Datuk Seri Najib Tun Razak dalam segala keputusan yang dibuat oleh Majlis Kepimpinan Tertinggi (MKT) UMNO selaku badan penggubal tertinggi dasar-dasar parti.

Kita juga tahu betapa pantasnya Najib akan memuat naik di Facebook penentangan beliau terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin atau apa-apa keputusan penting melibatkan kerajaan persekutuan.

Namun, sudah lebih 24 jam berlalu sejak Datuk Seri Ismail Sabri mengumumkan pelantikan Muhyiddin sebagai pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN).

Najib masih senyap, malah tidak ada sepatah apa pun yang dimuat naik setakat ini (10.20 malam, 5hb September) berhubung perkembangan terkini politik kebangsaan.

Apakah Najib tidak ingin mempersoalkan Ismail Sabri berhubung pelantikan Muhyiddin?

Bukankah Najib selama ini mendakwa bahawa kerajaan yang dipimpin oleh Muhyiddin merupakan kerajaan yang “gagal segagal gagalnya?”

Saya kurang percaya bahawa Najib tidak tahu berkenaan pelantikan Muhyiddin sebelum pengumuman dibuat, malah saya yakin bahawa pelantikan ini dirancang bersama oleh Najib dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sudah menjadi lumrah Zahid dan Najib untuk bersandiwara tahap Hollywood sejak sebelum Langkah Sheraton lagi dalam usaha terancang Kluster Mahkamah untuk kembali menguasai tampuk kepimpinan negara.

Rancangan Kluster Mahkamah ini melibatkan tiga fasa, iaitu:

Fasa pertama: Sekongkol UMNO bersama PAS, Datuk Seri Azmin Ali dan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan.

Fasa kedua: ‘Penolakan’ pengaruh Azmin dalam kerajaan dan sebab-sebab lain yang seterusnya digunakan sebagai alasan untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Muhyiddin.

Fasa ketiga: Percubaan untuk menumbangkan kerajaan pimpinan Ismail Sabri atas alasan Perdana Menteri UMNO merupakan boneka Muhyiddin atau mencetuskan Pilihan Raya Umum ke-15 atas alasan yang sama.

Saya percaya bahawa Ismail Sabri sengaja melantik Muhyiddin atas alasan “UMNO perlu menjaga hati Muhyiddin” agar PPBM tidak mencetuskan kemelut politik baharu dengan menarik sokongan terhadap Perdana Menteri.

Semuanya nampak dirancang, malah saya tidak terkejut apabila Khairy Jamaluddin mengumumkan bahawa status wabak Covid-19 akan diubah daripada “pandemik” ke “endemik” dalam masa terdekat setelah imuniti kelompok dicapai.

Status “endemik” bermakna wabak Covid-19 akan dianggap sebagai sesuatu yang biasa dalam kehidupan harian yang tidak perlu dihairankan.

Ini bermakna, Pilihan Raya Umum ke-15 dapat diadakan dalam masa terdekat sebaik sahaja imuniti kelompok dicapai, dan hanya mereka yang sudah divaksin sepenuhnya akan dibenarkan keluar mengundi.

Saya percaya bahawa kluster mahkamah akan lancarkan “sandiwara serangan fasa ketiga” terhadap Ismail Sabri disebabkan pelantikan Muhyiddin dan menggunakan alasan ini atau alasan lain untuk mendesak pembubaran parlimen.

Sebelum itu, negara kita akan mencapai imuniti kelompok dan Khairy akan umumkan peralihan rasmi dari status “pandemik” ke “endemik.”

Kemudian, Ismail Sabri akan menghadap Yang Di-Pertuan Agong dan menasihati Seri Paduka Baginda Tuanku untuk membubarkan parlimen agar proses kejatuhan kerajaan dan pembentukan kerajaan baharu tanpa Pilihan Raya dapat dielakkan susulan “serangan Kluster Mahkamah.”

Sekiranya Yang Di-Pertuan Agong menolak nasihat Ismail Sabri, kluster mahkamah mungkin akan menarik sokongan terhadapnya sepertimana yang berlaku terhadap Muhyiddin dan mencalonkan Zahid atau Najib sebagai Perdana Menteri Interim.

Tetapi memandangkan status wabak Covid-19 sudah diubah ke status endemik, Yang Di-Pertuan Agong dijangka akan bersetuju untuk membubarkan parlimen, sekaligus memberi ruang kepada pembentukan kerajaan caretaker sebelum Pilihan Raya Umum ke-15.

Sudah pasti Ismail Sabri akan dilantik memegang jawatan Perdana Menteri Caretaker, dan jawatan ini akan memberikan akses jentera pentadbiran kerajaan kepada UMNO untuk membantu kempen parti itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-15.

Inilah yang saya nampak, malah sandiwara ‘serangan’ terhadap Ismail Sabri sudahpun bermula hari ini apabila sekutu rapat Najib, Puad Zakarshi, menyifatkan pelantikan Muhyiddin sebagai tanda Ismail Sabri ialah “Perdana Menteri tekawal.”

Sumber: TTF