Panas! Nurul Izzah ganti Anwar ketuai Pakatan Harapan?

Panas! Nurul Izzah ganti Anwar ketuai Pakatan Harapan?

 

SELEPAS mengalami kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada Sabtu lepas, sekumpulan pemimpin dari kalangan Pakatan Harapan mula meluahkan rasa tidak puas hati terhadap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua pakatan tersebut.

MalaysiaPost dimaklumkan, sejurus keputusan kekalahan itu diumumkan secara rasmi, suatu pertemuan telah diadakan oleh beberapa orang pemimpin Pakatan Harapan.

Menurut sumber, kumpulan pemimpin berkenaan telah sepakat untuk mendesak Anwar agar mengambil tanggungjawab penuh terhadap kekalahan Pakatan Harapan di Melaka.

Antara faktor kekalahan besar pakatan tersebut adalah boikot dari kalangan pengundi Pakatan Harapan yang tidak keluar mengundi pada Sabtu lepas sebagai protes terhadap ‘calon katak’ yang dibawa masuk ke dalam Pakatan Harapan untuk bertanding.

“Datuk Seri (Anwar Ibrahim) punca kita (Pakatan Harapan) kalah. Idris (Haron), Nor Azman (Hassan) tanding PH, orang Cina tidak keluar (mengundi).

“Mereka berbincang, mungkin akan desak secara rasmi untuk Datuk Seri berundur dari ketua,” katanya kepada MalaysiaPost.

Ketika ditanya, siapa calon Pengerusi Pakatan Harapan yang paling layak untuk menggantikan Anwar, antara nama yang disebut-sebut adalah Nurul Izzah Anwar dan Rafizi Ramli, menurut sumber itu lagi.

Terdahulu, dua bekas Adun Umno yang membatalkan sokongan terhadap kerajaan negeri Melaka sebelum ini, iaitu Idris Haron dan Nor Azman Hassan telah bertanding menggunakan tiket Pakatan Harapan pada PRN Melaka.

Idris yang juga bekas ketua menteri Melaka menjadi calon PKR di DUN Asahan manakala Nor Azman sebagai calon Amanah di DUN Pantai Kundor.

Walau bagaimanapun, kedua-dua bekas Adun yang menjadi punca pembubaran DUN Melaka itu kalah saingan pada kerusi yang ditandingi.

Idris yang memperoleh 4,192 undi tewas kepada calon Barisan Nasional, Fairul Nizam Roslan yang memperoleh 4,939 undi dengan jumlah majoriti 747 undi.

Sementara itu, kerusi yang ditanding oleh Nor Azman Hassan, di DUN Pantai Kundor telah dimenangi oleh calon Barisan Nasional, Tuminah Kadi @ Mohd Hashim yang memperoleh 2,341 undi berbanding calon Perikatan Nasional, Mohamad Ridzwan Mustafa, 1,961 undi manakala Nor Azman, 1,752 undi.