Panas! Noraini Ahmad bakal dipecat sebagai Ketua Wanita UMNO?
Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad bakal dipecat dari jawatannya.
Memetik laporan MalaysiaNow melalui sumbernya, Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi memberi kata dua kepada ketua Wanita parti itu, agar meletakkan jawatan sebagai menteri Kabinet hari ini atau berdepan dengan pemecatan parti.
Noraini yang juga Menteri Pengajian Tinggi sebelum ini enggan mengikut langkah bekas Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah yang meletakkan jawatan awal minggu ini sehingga menyebabkan kemarahan Zahid.
“Letak jawatan atau kamu akan dipecat,” merujuk kepada kata-kata Zahid kepada Noraini.
Terdahulu, UMNO telah memberikan tempoh kepada ahli parlimennya sehingga 7 Ogos untuk memberikan surat tunjuk sebab sama ada mereka akan terus menyokong kerajaan PN atau menarik sokongan selain meletakkan jawatan mereka dalam kerajaan.
Ujar sumber itu lagi, Noraini akan mengeluarkan satu kenyataan pada hari ini dan berkemungkinan akur dengan kehendak Zahid Hamidi.
Zahid pada Selasa mengumumkan sudah menghantar bilangan akuan bersumpah (SD) yang mencukupi kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) serta mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan.
Sebelum sidang media Zahid, Shamsul mengumumkan meletakkan jawatan dari Kabinet.
Keesokan harinya, selepas mengadap Agong, Muhyiddin pada satu sidang media yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob serta pemimpin-pemimpin kanan parti dalam PN berkata, kedudukan beliau sebagai perdana menteri akan ditentukan oleh undi kepercayaan dalam sidang Dewan Rakyat pada September.
Bagaimanapun, Zahid serta parti-parti pembangkang dari Pakatan Harapan (PH), Pejuang, Warisan dan Muda tetap mendesak kerajaan mengadakan sidang Parlimen secepat mungkin untuk menguji sokongan Muhyiddin.
Sebelum ini terdedah rakaman audio antara Zahid dan Presiden PKR Anwar Ibrahim selepas perhimpunan agung Umno.
Dalam perbualan itu, Anwar memuji cara Zahid menggendalikan perhimpunan itu dan serangan dilakukan terhadap kerajaan PN.
Selain itu Anwar turut memuji kenyataan Shamsul selepas perhimpunan itu yang mengatakan bersedia untuk meletakkan jawatan.
Kedua-dua Zahid dan Anwar pada mulanya menafikan perbualan audio itu.
Bagaimanapun dalam satu mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno baru-baru ini, Zahid mengakui audio perbualan tersebut adalan tulen.
Sumber: Suara TV