Gempar! Istana Negara muat naik semula titah Agong buka Parlimen segera

Gempar! Istana Negara muat naik semula titah Agong buka Parlimen segera

Titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya Parlimen perlu diadakan segera secepat mungkin sekali lagi dimuat naik di Facebook Istana Negara pada Jumaat.

Titah itu sama seperti sebelum ini yang memaklumkan Seri Paduka Baginda berpandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik.

“Setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi kerajaan, maka Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.

“Ini untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat,” menurut kenyataan itu.

Pada Rabu, Seri Paduka Baginda bertitah agar persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi menangani Covid-19 dan menyelamatkan ekonomi negara.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, perkara itu perlu dilaksanakan untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Yang di-Pertuan Agong berkenan berangkat menghadiri dan mempengerusikan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara pada Rabu.

Sumber: Sinar Harian