Panas! ADUN Hulu Kinta dakwa ada Exco Perak seolah-olah ‘sabotaj’ kerajaan sendiri

Panas! ADUN Hulu Kinta dakwa ada Exco Perak seolah-olah ‘sabotaj’ kerajaan sendiri

 

ADUN PKR Perak mendakwa seorang Exco kerajaan negeri dilihat seolah-olah cuba mensabotaj usaha kerajaan negeri dalam menangani wabak Covid-19.

ADUN Hulu Kinta yang juga Ketua Penerangan PKR Perak, Muhamad Arafat Varisai Mahamad mendakwa sejak kerajaan persekutuan Perikatan Nasional (PN) tumbang, Exco kerajaan daripada Perikatan Nasional (PN) itu dilihat tidak ikhlas membantu usaha kerajaan negeri serta tidak minat turun padang bersama Menteri Besar Saarani Mohamad walaupun itu sudah menjadi tanggungjawab beliau.

“Ini tidak pernah berlaku sebelum ini di mana Exco bertanggungjawab tidak mahu turun bersama MB (menteri besar) dalam program rasmi, bukan sekali tapi beberapa kali.

“Saya difahamkan tindakan ini satu bentuk protes dan memberi ‘amaran’ tidak teragak-agak tarik sokongan terhadap MB sekiranya masih tidak menghormati PN di Perak,” katanya dalam kenyataan.

Arafat berkata, tindakan Exco berkenaan yang tidak memberikan kerjasama dalam usaha menangani pandemik sedangkan beliau merupakan Exco yang bertanggungjawab seolah olah ‘sabotaj’ dengan niat mewujudkan persepsi negatif terhadap kerajaan negeri pimpinan Saarani Mohamad, bahawa menteri besar Perak lewat dalam tindakan dan gagal menangani pandemik.

Untuk itu, beliau menggesa semua pihak khususnya Exco terbabit supaya mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri dengan memberi kerjasama penuh kepada menteri besar dalam usaha menjayakan program vaksinasi, mengurangkan pengangguran dan meningkatkan bantuan kebajikan seperti dilaksanakan pembangkang.

Kelmarin, Sinar Harian melaporkan beberapa ADUN pembangkang ketika Sidang DUN berlangsung mempersoalkan peranan Exco Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Mohd Akmal Kamarudin, yang dikatakan ‘banyak hilang’ ketika kerajaan negeri berdepan wabak Covid-19.

Tan Kar Hing (PKR-Simpang Pulai), Howard Lee Chuan How (DAP-Pasir Pinji) dan Asmuni Awi (Amanah-Manjoi) membangkitkan perkara itu pada sesi perbahasan Persidangan DUN Perak ke-14 di Ipoh, Khamis lalu.

Kar Hing berkata, penularan kes Covid-19 di Perak menunjukkan kebimbangan dengan kadar peningkatan kes yang tinggi, kemasukan pesakit ke unit rawatan rapi (ICU) dan jumlah kematian direkodkan setiap hari.

Difahamkan, Mohd Akmal hanya akan menjawab tuduhan terhadapnya dalam sidang DUN Isnin ini.

Untuk rekod pada Disember tahun lalu, Ahmad Faizal Azumu gagal mendapat sokongan dalam usul keyakinan terhadapnya selaku menteri besar pada sidang DUN Perak.

PAS yang memiliki tiga ADUN pada masa itu berpendirian untuk tidak menyertai pembentukan kerajaan baru.

Namun, kemelut pemilihan jawatan itu akhirnya terungkai selepas Bersatu, PAS dan Umno bersetuju mencadangkan Saarani Mohamad yang juga ketua Umno Perak sebagai menteri besar, sekali gus mengekalkan gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak.

Sumber: FMT