“Mata nampak ‘berkaca’..” – Peminat tegar RX-Z, Paksu Tomoi sebak terima hadiah pakej umrah
Warga emas yang juga peminat tegar motosikal Yamaha RX-Z tidak dapat menahan perasaan sebak menerima hadiah pakej umrah sebagai penghargaan atas komitmen yang ditunjukkan terhadap penganjuran program RXZ Members di Terengganu.
Ismail Abdullah, 68, atau lebih dikenali sebagai Paksu Tomoi menerima kunjungan pengurusan RXZ Members bersama Syarikat Hashwat Alharamayn & Tours di kediamannya di Kuala Ketil, Kedah pada Jumaat.
Penganjur RXZ Members, Mohamad Faizal Mat Ali berkata, kesetiaan warga emas itu yang sanggup menempuh perjalanan dua hala hampir 1,000 kilometer (km) dari Kuala Ketil, Kedah ke Kuala Nerus, Terengganu melayakkan beliau diberikan penghargaan.
“Paksu merupakan penyeri kepada program himpunan ini. Beliau tidak pernah jemu datang ke Terengganu dengan menunggang motosikal dan menempuh perjalanan sehingga lapan jam sejak penganjuran RXZ Members 1.0 lagi.
“Dalam masa yang sama kita juga menerima pelawaan daripada sebuah syarikat agensi pelancongan yang bersedia menawarkan pakej umrah kepada beliau,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Menurut Mohamad Faizal, warga emas itu dilihat begitu teruja apabila menerima hadiah tersebut serta dijadualkan akan mula berangkat mengerjakan umrah pada 20 November depan.
“Masa beri hadiah pakej umrah tu, mata Paksu nampak ‘berkaca’, seolah-olah terharu dan sebak dengan penghargaan yang kami berikan.
“Kami harap Paksu gembira dengan pemberian ini dan Paksu sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik,” ujarnya.
Sebelum ini, rakaman video tular memaparkan warga emas berserban menunggang motosikal Yamaha RX-Z menyertai program RXZ Members 6.0 yang diadakan di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak mendapat perhatian pengguna media sosial.
Rata-rata dalam kalangan mereka memuji kesungguhan lelaki tersebut kerana dalam masa yang sama turut singgah ke masjid untuk menunaikan ibadah solat bersama kumpulan anak muda yang berkongsi minat sama.
Program RXZ Members 6.0 yang diadakan di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus pada September lalu menarik penyertaan lebih 40,000 peserta dari seluruh negara.