Pakar perunding keluarga dedah makin ramai suami di Malaysia jadi suri rumah

Pakar perunding keluarga dedah makin ramai suami di Malaysia jadi suri rumah

 

Trend suami memilih untuk menjadi suri rumah menguruskan anak berbanding keluar mencari rezeki semakin meningkat berbanding 10 tahun lalu.

Suami sebagai suri rumah diistilahkan sebagai househusband atau stay-at-home-dads, di mana mereka mengambil alih tugas menguruskan rumah tangga, manakala isteri pula bekerja.

Pakar Perunding Kaunselor Kekeluargaan dan Perkahwinan, Hushim Salleh berkata, jumlah golongan itu menunjukkan peningkatan 70 peratus berbanding kira-kira 50 peratus pada 2014.

“Fenomena itu sebenarnya sudah lama berlaku dan dari hari ke hari makin ramai kaum lelaki berkorban dengan berhenti kerja untuk mengurus rumah tangga secara sepenuh masa.

“Keadaan ini terjadi disebabkan lebih ramai golongan isteri kini memiliki kerjaya yang bergaji lebih tinggi daripada suami,” katanya kepada Sinar Ahad.

Beliau berkata, situasi itu juga disebabkan oleh faktor desakan ekonomi dan peningkatan kos sara hidup, sama ada di bandar mahupun luar bandar.

“Dengan kos sara hidup yang semakin tinggi terutamanya bayaran pengasuh yang naik kepada RM300 dan RM400 bagi seorang anak, pasangan suami isteri terutamanya yang memiliki anak ramai kena buat pilihan untuk hanya salah seorang bekerja.

“Ramai buat keputusan untuk si isteri yang gajinya lebih mahal keluar bekerja, manakala suami uruskan rumah tangga. Dalam hal ini, makin ramai lelaki merendahkan ego mereka dengan membenarkan isteri keluar bekerja,” ujarnya.

Menurut Husim, kesanggupan lelaki menjadi househusband juga boleh dianggap sebagai satu pengorbanan yang berbaloi berikutan ramai anak-anak mereka cemerlang dalam akademik.

Katanya, kebanyakan bapa yang mempunyai kelayakan akademik dan memiliki karier bagus sebelum ini akan mencurahkan ilmu dimiliki kepada anak-anak di rumah.

“Selain itu, sebagai ketua keluarga mereka juga boleh menerapkan sendiri didikan agama kepada anak-anak dan boleh mengamalkan rutin solat berjemaah,” tambahnya.

Bagaimanapun, beliau tidak menafikan trend househusband turut menimbulkan kesan buruk kerana akan menyebabkan suami berasa rendah diri disebabkan tidak bekerja, selain di pandang serong oleh masyarakat serta ahli keluarga.

“Sebab itu ada juga ramai pasangan yang datang berjumpa saya untuk mendapatkan kaunseling kerana keadaan suami yang jadi suri rumah bukanlah satu kelaziman dalam masyarakat dan mengundang cemuhan.

“Rata-ratanya si suami mengakui rasa hilang keyakinan diri ketika bercampur masyarakat. Apabila hilang keyakinan sebegini, akan wujud juga pertengkaran suami isteri. Jadi sesi kaunseling akan membantu mereka untuk membina semula keyakinan diri,” katanya.

Tambah beliau, apa yang paling utama ialah keputusan suami untuk menggalas tugas sebagai househusband perlu mendapat persetujuan antara suami dan isteri.

“Apabila ada persetujuan begini, tidak akan timbul kes isteri tidak menghormati suami dan anak-anak juga tidak akan alami kecelaruan.

“Dalam Islam sendiri, tidak dilarang untuk suami jadi househusband kerana tugas mengurus rumah tangga sebenarnya lebih penat dan tiada sebarang bayaran pun diterima,” ujarnya.