Pakar kewangan dedah lima sebab duit KWSP cepat habis, no 3 paling ramai buat
Duit Kewangan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sememangnya sangat penting buat para pencarum kerana bakal menjadi talian hayat di usia senja kelak.
Namun, dengan pengeluaran jumlah yang besar sekaligus telah membuatkan seseorang menjadi rambang mata. Mereka seperti terpukau lalu membelanjakan dengan sewenang-wenangnya tanpa memikirkan masa hadapan.
Difahamkan antara faktor duit simpanan pencarum KWSP yang sepatutnya digunakan untuk membiayai kehidupan selepas bersara habis dalam tempoh masa singkat adalah kerana menyelesaikan hutang dan membiayai kos perubatan.
Pakar Kewangan Pengguna, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, faktor lain ialah ubah suai rumah, menjadi ‘bank tanpa faedah’ untuk anak-anak dan membuat pelaburan yang tidak sah atau tidak bermanfaat.
“Kebanyakan masyarakat kita tidak mempunyai perlindungan takaful. Jadi apabila sudah mencapai usia persaraan, banyak wang digunakan untuk tujuan perubatan dan ini tidak boleh elak.
“Selain itu, kebanyakan mereka menggunakan wang KWSP untuk menyelesaikan pelbagai hutang seperti rumah, kenderaan dan pinjaman peribadi.
“Namun, ada juga membelanjakan kepada perkara tidak penting seperti buat ubah suai rumah dan menjadi bank kepada anak-anak hingga sanggup menanggung sepenuhnya kenduri kahwin mereka.
“Akhirnya, duit yang sepatutnya digunakan untuk menjalani kehidupan lebih baik dan selesa dalam tempoh persaraan menjadi sebaliknya,” katanya.
Mohamad Fazli berkata, risiko pekerja jatuh miskin pada usia tua akibat ketiadaan tabungan kewangan mencukupi telah lama diperkatakan.
Jelasnya lagi, keadaan ini berlaku disebabkan kebanyakan rakyat masih kurang memahami keperluan menabung untuk masa depan, di samping lemah dalam pengurusan kewangan peribadi.
“Keadaan ini turut mendorong sesetengah mereka terlibat dengan skim pelaburan tidak sah. Bukan sahaja tidak dapat untung, malah ada yang rugi,” katanya.
Sebab duit KWSP cepat habis di kalangan pencarum
1. Ubah suai rumah
2. Belanja kenduri kahwin anak
3. Bayar hutang
4. Biayai kos perubatan
5. Terlibat pelaburan tidak sah
Tahukah anda bahawa sebanyak 5.1 juta ahli KWSP bumiputera yang memiliki kurang daripada RM10,000 di dalam akaun masing-masing. Ini bermaksud duit talian hayat di usia senja hanya boleh bertahan mungkin dalam masa kurang setahun sahaja.
Walaupun ada yang memegang prinsip bahawa semua wang KWSP perlu dibelanjakan kerana tidak tahu bila waktu kematian, ia bukan satu praktis yang rasional kerana anda juga perlu mempunyai baki wang yang mencukupi jika diberikan usia yang panjang.