‘Pagi di Hollywood, petang di Vegas’

‘Pagi di Hollywood, petang di Vegas’

PERAK adalah sebuah negeri yang unik. Negeri ini terbahagi kepada 11 daerah pentadbiran. Penduduknya bertutur dalam lima ke enam loghat atau dialek.

Jika di bahagian utara Perak, penduduknya bertutur loghat seperti orang Kedah dan Pulau Pinang. Turun ke selatan, loghatnya kedengaran seperti Selangor dan Johor sedikit.

Di hulu contohnya, lebih kedengaran seperti loghat Kelantan dan Patani, manakala di Perak Tengah orangnya menggunakan loghat asli Perak.

Perbezaan dan penggunaan dialek ini ditentukan oleh kawasan geografi atau keadaan sosial penuturnya.

Ipoh yang terletak di daerah Kinta merupakan ibu negeri dan pusat pentadbiran Perak. Orang muda memanggil Ipoh sebagai ‘Bandar Hipster’. Seandainya berada di Ipoh tidak lengkap jika tidak menjamu selera di kafe-kafe hipster di sana.

Dahululah. Ini kisah sebelum siri-siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini sudah memasuki 3.0 dan semasa orang ramai masih bebas merentas daerah dan negeri.

Sekitar tahun 2014, penulis pernah bertugas selama setahun empat bulan di Perak. Jika untuk bersarapan, penulis gemar ke Restoran New Hollywood di Taman Canning, Ipoh.

Menunya semua lazat, mi kari, roti telur goyang, dim sum, roti canai, nasi lemak dan kopi aisnya juga ‘kaw’. Bersebelahan New Hollywood yang beroperasi sebelah pagi, terletak pula Restoran Vegas yang mula operasi sebelah petang.

Kedua-dua restoran ini konsepnya sama, kopitiam Cina dengan pelbagai gerai di bawah satu bumbung. Pengunjungnya pula terdiri daripada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat. Pendek kata, baik rakyat biasa hingga kepada pemimpin, semua datang ke dua restoran ini.

Politik Perak pun tidak kurang menariknya. Penulis masih teringat seorang pemimpin ini yang ketika itu bukanlah siapa-siapa, tiada jawatan dan kerap menghubungi rakan-rakan wartawan ajak ‘melabun’ seawal pagi di Restoran New Hollywood.

Tak habis di New Hollywood, sambung pula sehingga ke sebelah petang di Vegas. Macam-macam tip diminta daripada rakan wartawan bagaimana hendak menempa nama agar dikenali.

Naik ke langit, terjun turun rakan-rakan penulis waktu itu membantu kendali program di kawasannya atas nama setiakawan.

Tetapi itu dahululah, sekarang sudah ada pejabat, dapat jawatan, ‘hapah, idok mandang’ rakan-rakan media itu. Rakan-rakan media pun ramai sudah ‘pencen’ atau bertugas di tempat lain.

Wartawan pun rakyat biasa, yang menilai tindak-tanduk pemimpin. Langit tidak selalu cerah, jadi usahlah buat tindakan pelik-pelik sehingga rakyat sendiri pun keliru.

Penulis pun tidak memaksudkan apa-apa dalam tulisan ini cuma bernostalgia.

Agak-agak bila boleh rentas negeri pulang ke kampung halaman. Kalau ada modal lebih, boleh buat road trip ke Ipoh, penulis teringin hendak makan nasi goreng di Restoran Vegas.

Sumber: Kosmo