Padang Astaka Sitiawan terbakar

Padang Astaka Sitiawan terbakar

 

 

Padang Astaka Sitiawan iaitu satu kawasan lapang yang sering menjadi tumpuan warga setempat melakukan pelbagai aktiviti riadah terbakar petang tadi.

Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung kejadian tersebut pada pukul 2.49 petang.

Kata jurucakap tersebut, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan dikejarkan ke lokasi kejadian diketuai PKPgB Mohd. Zaki Zainol bagi memadam kebakaran.

“Sebaik bomba tiba, kebakaran melibatkan lalang kering di kawasan tanah lapang yang berkeluasan kira-kira 15 ekar.

“Anggota menggunakan empat aliran hos sepanjang 121 meter menerusi bekalan air daripada jentera dan sumber pili bomba sehingga api berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya,” ujar jurucakap tersebut.

Operasi pemadaman yang turut dibantu sukarelawan bomba Ayer Tawar, Pantai Remis dan Pekan Gurney itu tamat sepenuhnya kira-kira dua jam kemudian manakala punca kebakaran sedang disiasat.

Dalam pada itu, video kebakaran ini yang menunjukkan kepulan asap putih turut tular di media sosial.

Sumber: Kosmo