“Padan muka” – Komen bekas guru terhadap nasib pelajar yang kurang cemerlang SPM undang reaksi netizen

Isnin lalu, Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengumumkan keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menerusi satu laporan, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 mencatatkan pencapaian lebih baik dengan Gred Purata Nasional (GPN) 4.60, berbanding 4.74 pada 2022.
Ketua Pengarah Pendidikan, Azman Adnan, berkata seramai 11,713 calon memperoleh keputusan cemerlang, iaitu Gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran pada 2023, dibandingkan dengan 10,109 calon pada 2022, sekali gus mencatatkan peningkatan.
Masih mengenai SPM, satu tangkap layar tular mengenai hantaran oleh individu di dalam kumpulan Facebook Kami Guru Malaysia yang mempersoalkan nasib pelajar yang tidak mencapai keputusan yang cemerlang di dalam SPM.
Hantaran berkenaan kemudiannya dibalas oleh seorang bekas guru yang juga merupakan seorang pempengaruh.
“Padan muka,” tulisnya ringkas.
Komen berkenaan bagaimanapun mengundang rasa tidak berpuas hati dalam kalangan netizen. Kata mereka sepatutnya perkataan begitu tidak patut ditulis demi menjaga sensitiviti pelajar.
Menurut Reporter, menerusi hantaran di Facebook, pempengaruh berkenaan menyatakan dia sudah berada di dalam tahap malas untuk berbahas mengenai sesuatu isu.
“Aku dah masuk fasa malas nak berbahas, nak berlawan hujah, dan malas nak melayan.
“Apa aku rasa nak tulis, apa sahaja dalam kepala, aku tulis je. Orang tak setuju ke apa, aku iyakan saja,” tulisnya.