Padah pandu lawan arus sejauh 1.4 km
Tindakan seorang lelaki yang cuba melarikan diri dari Sekatan Jalan Raya (SJR) di Plaza Tol Sungkai dengan memandu secara lawan arus sejauh 1.4 kilometer mengundang padah apabila kenderaan dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer (KM) 355.4 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, dekat sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihak polis menerima maklumat berhubung kemalangan membabitkan tiga kenderaan iaitu Perodua Axia, Toyota Rush dan sebuah lori pada 6 petang.
“Siasatan awal pihak polis mendapati kemalangan itu berlaku ketika suspek berumur 34 tahun yang memandu kereta Perodua Axia dalam perjalanan dari Klang, Selangor ke Bidor, Perak.
“Bagaimanapun, sebaik menyedari terdapat SJR di Plaza Tol Sungkai, suspek disyaki memandu secara lawan arus dari susur keluar Plaza Tol Sungkai menghala ke selatan di sebelah kanan arah utara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Azharuddin berkata, tindakan itu menyebabkan kereta dipandu suspek melanggar sebuah kereta Toyota Rush yang dalam perjalanan ke arah utara.
Katanya, pelanggaran itu menyebabkan kereta suspek berpusing beberapa kali ke sebelah kiri jalan arah utara lalu melanggar sebuah lori muatan sarung tangan yang sedang menuju ke arah utara.
Namun, beliau berkata, pemandu kereta Toyota Rush berusia 25 tahun dan pemandu lori berusia 27 tahun serta suspek yang berasal dari Taman Batang Padang, Bidor tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan itu.
“Siasatan pihak polis juga mendapati suspek dipercayai dalam perjalanan pulang ke kampung untuk merayakan Deepavali.
“Suspek ditahan di kediamannya dekat Bidor kira-kira jam 11 pagi hari ini, untuk membantu siasatan,” katanya.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sumber: Harian Metro