Orang ramai ‘tak puas hati’ Menteri adakan Fun Ride, dakwa langgar SOP COVID-19
Tular semalam gambar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin yang terlibat dalam satu acara Fun Ride melibatkan kumpulan yang besar. Situasi ini jelas tidak menyenangkan orang ramai dengan kes wabak COVID-19 di negara kita belum pulih sepenuhnya.
Menerusi sebuah catatan yang dimuat naik di Facebook menunjukkan bahawa ahli parlimen Ampang ini telah mengadakan sebuah acara basikal di Kiara Hills, Kuala Lumpur.
Ironinya bahawa acara ini dijalankan dengan tujuan untuk memberi informasi mengenai cara ‘menangani wabak dan praktik norma baharu’, namun apa yang dilihat adalah tiada penjarakan sosial dan melanggar apa yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Tak sure mana satu berita yang tak benar
Sama ada SOP MKN yang tulis Fun Ride tak dibenarkan ataupun Menteri yang rasmikan program Fun Ridehttps://t.co/qjogyNqKIB pic.twitter.com/uPGV7KepLW
— Abdul Majid Abd Aziz (@majid_kun) March 13, 2021
Menurut MKN, aktiviti massa yang melibatkan pergerakan dan kumpulan yang ramai sehingga menyukarkan penjarakan fizikal dalam satu-satu masa adalah tidak dibenarkan.
Sejak tular, orang ramai termasuk dua peguam dan seorang ahli parlimen mendesak pihak berkuasa agar melakukan siasatan bebas ke atas Zuraida yang jelas telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) bagi mencegah wabak COVID-19.
Kebanyakan netizen menyatakan bahawa keadilan harus diterapkan dalam penguatkuasaan peraturan COVID-19 dan keadilan juga seharusnya tidak dibezakan di antara kumpulan biasa dan orang kenamaan.
Hello @PDRMsia, Rakyat tunggu pengumuman berapa puluh kompaun RM10k dikeluarkan untuk acara fun ride siap senamrobik bagai macam ni. Acara melibatkan Menteri takkan takda polis kat situ? Kompaun utk Zuraida berapa pulak?
From IG Aunty Zu, tu polis ke? pic.twitter.com/X0yetbhOI7
— KEEM (@keemmazni) March 14, 2021
Peguam Muhammad Rafique Rashid Ali berkata walaupun tidak jelas apakah yang dimaksudkan dengan ‘fun ride’ berdasarkan peraturan MKN namun situasi ini kalau dilakukan oleh rakyat biasa, pihak berkuasa dengan pantas akan mengambil tindakan ke atas mereka.
“Kita mempunyai menteri yang secara terbuka memberitahu orang bahawa beliau menghadiri acara ini dan memuat naik di media sosial, yang jelas menjengkelkan ramai orang. Bagi ‘rakyat biasa’, polis akan mengetuk pintu mereka,” kata Rafique seperti dilaporkan oleh FMT.
Rafique juga mempersoalkan tindakan ke atas mereka yang hadir ke acara terbabit. Adakah mereka akan dikenakan denda RM10,000 kerana melanggar SOP di mana menerusi gambar terbabit, apa yang jelas adalah tiada langsung penjarakan sosial dan beberapa individu hadir tanpa pelitup muka.
Buat lah mcm mana sekali pun post kat twitter or memana pasal salah org politik ni. Still dorang tak akan kena tindakan. As rakyat Malaysia sumpah penat tgk double standard ni. https://t.co/yGl7otM2d1
— Faris (@myfaris2012) March 14, 2021
Bagi Peguam A Srimurugan pula, dia menyatakan bahawa situasi ini terjadi disebabkan kegagalan pihak kerajaan dalam menetapkan “panduan yang jelas dan tepat tentang apa yang diizinkan dan yang apa tidak”.
Dia turut menyatakan bahawa tidak adil sekiranya orang biasa mendapat hukuman denda yang tinggi apabila menteri sendiri tidak mematuhi peraturan yang telah ditetapkan.
“Sebenarnya, tahap pertanggungjawaban yang lebih tinggi diharapkan dari mereka. Undang-undang mesti ditegakkan sama, bahkan untuk menteri,” katanya kepada FMT.
Bagi Ahli Parlimen Kuching, Dr Kelvin Yii, menyatakan bahawa tidak salah sekiranya mahu mempromosikan gaya hidup sihat, tetapi tidak perlulah mengadakan acara dengan skala yang besar di tengah-tengah negara belum pulih daripada wabak.
Dia turut menambah bahawa penting bagi pihak berkuasa untuk menyiasat perkara tersebut untuk meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap sistem dan memastikan semua orang mematuhi SOP.
Jabatan Landskap Negara nafi dakwaan
Jabatan Landskap Negara hari ini telah menolak dakwaan bahawa acara yang dijalankan oleh Ahli Parlimen Ampang pada hari Sabtu lalu adalah ‘fun ride’, sambil menegaskan bahawa ia hanyalah aktiviti berbasikal di kalangan kakitangan sahaja.
Dalam satu laporan yang dikeluarkan oleh The Vibes, ia mengatakan bahawa kegiatan tersebut tidak terbuka kepada umum, dan hanya melibatkan 30 kakitangan dari jabatan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam.
“Suhu badan penunggang basikal juga diambil sebelum mereka memasuki taman.” kata jabatan terbabit sambil menambah bahawa aktiviti itu bertujuan untuk mempromosikan amalan norma baru semasa berbasikal, termasuk memastikan jarak sosial dan kebersihan. – TV