Operasi mencari lelaki jatuh longkang diperluaskan

Operasi mencari lelaki jatuh longkang diperluaskan

Pasukan penyelamat kini mempergiatkan usaha mencari seorang lelaki yang dipercayai dihanyutkan arus deras selepas terjatuh ke dalam longkang di Lebuh Persiaran Klebang 11 dekat Chemor di sini petang semalam.

Operasi yan disambung awal pagi tadi ditumpukan di dua lokasi perangkap sampah dengan radius pencarian diperluaskan sejauh 10 kilometer sehingga ke Sungai Kinta.

Identiti mangsa yang dikenali sebagai Ahmad Amin Ismail, 58, dikatakan terjatuh ke dalam longkang di bahu jalan setelah motosikal Yamaha Ego S yang ditunggangnya terbabas kira-kira pukul 7.30 malam.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman berkata, pihaknya menumpukan pencarian di dua kawasan perangkap sampah yang terletak kira-kira lima kilometer dari lokasi mangsa terjatuh.

Katanya, pasukan penyelamat menggunakan kaedah pemunggahan di sepanjang tebing Sungai Klebang yang dipenuhi pokok dan semak tebal.

“Pihak bomba menerima maklumat kejadian pada pukul 7.39 petang semalam yang memaklumkan seorang lelaki terjatuh ke dalam longkang dengan kedalaman hampir dua meter.

“Ketika kejadian, paras air longkang tersebut tinggi dan deras,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Menurut Azmi, gerakan mencari turut melibatkan anggota Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh dan Unit Anjing Pengesan (K9) dari Kuala Lumpur.

“Pemerhatian hari ini mendapati keadaan air sungai cetek dan kita percaya mangsa tiada di laluan sepanjang longkang dan kemungkinan telah dibawa arus lebih jauh.

Berita penuh: https://www.facebook.com/113825186693282/posts/450338489708615/