Operasi mencari kanak-kanak yang hanyut di Sungai Chepor diperluaskan
Operasi mencari dan menyelamat seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke Sungai Chepor di sini semalam diperluaskan hingga ke Sungai Kinta, hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman berkata, operasi yang memasuki hari kedua itu diperluaskan dengan radius kawasan sehingga 7 kilometer (km).
“Operasi melibatkan lebih 17 pegawai dan anggota dan dibantu aset-aset dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya, Ipoh, Zon 1 dan Batu Gajah.
“Usaha diperluaskan sehingga ke kawasan Sungai Kinta berhampiran Kampung Temiang yang sejauh 7km,” katanya.
Jelasnya lagi, faktor cuaca hujan sejak semalam telah meningkatkan arus deras Sungai Chepor yang memungkinkan kanak-kanak itu hanyut lebih jauh.
“Banyak faktor telah dipertimbangkan. Arus deras air sungai yang bertambah boleh menghanyutkan mangsa sama ada lebih jauh ataupun tersangkut di tebing sungai,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pos Kawalan Tempata Kejadian (PKTK) pencarian kanak-kanak hilang itu di Kampung Chepor Dalam di sini, hari ini.
Selain itu katanya, JBPM turut menerima bantuan dua bot dan tiga kayak yang dikendalikan oleh 10 individu dari kumpulan rakit redah jeram atau ‘water rafting’ yang dikenali sebagai Kamparado.
Jelas beliau, kumpulan tersebut menawarkan diri secara sukarela untuk membantu operasi pencarian itu selepas berita kehilangan kanak-kanak itu dilaporkan media tempatan.
Selain dua bot dari Kamparado, dua bot JBPM dan satu bot dari penduduk setempat turut digerakan dalam operasi tersebut.
“Selain Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), mereka membantu bomba menjalankan operasi mengesan mangsa bermula dari Sungai Pari hingga ke Sungai Kinta.
“Selain ia memfokuskan tiga zon pencarian, kita turut telah mengarahkan balai berhampiran seperti Batu Gajah yang hampir dengan Sungai Kinta untuk bersedia bagi membantu,” katanya.
Terdahulu, APM turut menurunkan aset baharu, dron jenis DJI Mavic2 Enterprise bagi membantu operasi SAR sejauh 1km dari PKTK.
Sumber: Perak Today