Obor-obor berbahaya Portuguese Man O’ War ditemui di perairan Kelantan

Obor-obor berbahaya Portuguese Man O’ War ditemui di perairan Kelantan

 

Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) Kelantan mengesahkan kehadiran obor-obor berbahaya spesis physalia physalis di perairan negeri itu.

Perkara berkenaan dimaklumkan DOF Kelantan melalui satu kenyataan di laman Facebooknya, hari ini.

Pengarah DOF Kelantan, Dr. Erniyta Osman berkata, pihaknya telah mengambil sampel dan menganalisis sampel obor-obor berkenaan.

“Dari sampel yang diambil disahkan bahawa obor-obor tersebut daripada spesis physalia physalis yang juga dikenali sebagai obor-obor Portugese Man of War,” katanya.

Menurut Erniyta lagi, obor-obor berkenaan merupakan haiwan yang mempunyai sengatan berbisa dan boleh membawa kematian. Ribuan sel penyengat yang dimiliki haiwan itu boleh menyebabkan rasa sakit yang melampau jika terkena pada badan.

Berbisa dan boleh bawa maut, obor-obor berbisa ditemui di perairan Kelantan

“Haiwan ini biasanya ditemui di Lautan Pasifik. Bagaimanapun sejak kebelakangan ini, ia turut dikesan di perairan Thailand, Pahang, Terengganu dan Sabah.

“Terbaru obor-obor ini ditemui di Kelantan iaitu di sepanjang pantai Daerah Bachok. Ini mungkin disebabkan ia dihanyutkan arus deras pada musim tengkujuh di Pantai Timur,” katanya.

Tambah Erniyta, tiada antivenom untuk bisa yang disebabkan sengatan obor-obor ini. Manakala rawatan yang diberikan pula berbentuk ubat penahan sakit dan melegakan simptom.

Justeru, DOF Kelantan menasihati orang ramai berhati-hati dengan kehadiran obor-obor di persisiran pantai dan laut.

Mereka turut dinasihati agar tidak menyentuh atau berenang di kawasan yang disahkan kehadiran obor-obor berkenaan.

“Jika terkena sengatan obor-obor ini, orang ramai dinasihati supaya bergegas ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan secepat mungkin,” katanya lagi.

Orang ramai diminta segera lapor ke Jabatan Perikanan Malaysia sekiranya menemui obor-obor itu di mana-mana kawasan perairan

Sekiranya orang ramai menemui obor-obor berkenaan di kawasan yang lain, mereka diminta untuk segera melaporkan kepada pejabat perikanan daerah yang berdekatan.

Ia bagi membolehkan jabatan berkenaan membuat hebahan dan larangan dengan segera.