Nora Danish tampil manis berhijab, pilih tutup ruangan komen

Nora Danish tampil manis berhijab, pilih tutup ruangan komen

 

Pelakon Nora Danish mencetuskan tanda tanya melalui hantaran terkini di Instagram (IG) apabila tampil berhijab.

Menerusi perkongsian itu, Nora atau nama sebenar, Nora Mohd Danish Hanif, 42, memuat naik tiga foto memaparkan dirinya mengenakan ‘hoodie’ warna kelabu dan tudung rona hitam.

Bagaimanapun, tiada keterangan mengiringi foto itu.

Sebaliknya, pelakon Sayu Yang Syukur itu hanya menyertakan jenama pakaian pada entri berkenaan.

Biarpun imej sedemikian bukanlah asing buat aktres jelita itu, namun, tindakan Nora menutup ruang komen seolah-olah menggambarkan dirinya enggan diganggu, kemungkinan ketika melangkah fasa baharu dalam kehidupannya sekarang.

Pada 19 Jun lalu, Nora mengejutkan industri hiburan apabila sah bercerai talak satu dengan bekas suami, Nedim Nazri selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.

Nora dan Nedim mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Mohamed Neqayl berusia enam tahun.

Sebelum ini, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram Ramli atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan dikurniakan cahaya mata lelaki, Putra Rayqal, 15, serta bercerai pada 2008.