Nizar kalah lagi pemilihan semula AMANAH Gopeng

Nizar kalah lagi pemilihan semula AMANAH Gopeng

 

Bekas Timbalan Pengerusi AMANAH Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin kalah dalam pemilihan semula AMANAH peringkat kawasan Gopeng, hari ini.

Menurut sumber, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Rapat yang juga EXCO kerajaan negeri Perak itu gagal menempatkan diri dalam kalangan 15 calon anggota jawatankuasa (AJK) kawasan yang menerima undi terbanyak.

“Dalam pemilihan tersebut, seramai 100 orang perwakilan telah menjalankan tanggungjawab sebagai ahli parti, mereka dikehendaki memilih 15 orang AJK daripada 32 orang calon yang bertanding,” kata sumber kepada Berita Perak, hari ini.

Pemilihan semula AMANAH kawasan Gopeng itu berlangsung di Hotel Symphony Suite, Ipoh.

Terdahulu, pengumuman keputusan pengundian selepas selesai proses undian dan pengiraan undi dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan AMANAH Nasional,Dr Zulqarnain Lukman

Keputusan itu menyaksikan Mohammad Nizar yang juga bekas timbalan pengerusi AMANAH Perak gagal menempatkan diri sebagai AJK Amanah kawasan Gopeng sesi 2024-2026.

Difahamkan, 15 orang AJK yang dipilih rata-rata adalah muka lama yang diberi kepercayaan untuk meneruskan tanggungjawab mengemudi Amanah kawasan itu.

Selepas keputusan diumumkan, 15 AJK baru itu mengadakan mesyuarat untuk melantik ketua, timbalan ketua dan naib-naib ketua Amanah kawasan berkenan.

Susulan itu, muka baharu Ahmad Tarmizi Musa telah dipilih sebagai ketua AMANAH kawasan Gopeng yang baru manakala Kamarul Effendey sebagai timbalan.

Jawatan naib ketua pula masing-masing diisi oleh Ir Abdul Aziz Omar dan Badrin Khalid.