Nizar akhirnya dedah Najib dianiaya orang kelilingnya, janji mahu berjuang untuknya tapi lari lintang pukang

Nizar akhirnya dedah Najib dianiaya orang kelilingnya, janji mahu berjuang untuknya tapi lari lintang pukang

 

Keluarga Datuk Seri Najib Razak mahu rakyat bersama-sama mereka dalam memperjuangkan pembebasan bekas Perdana Menteri yang kini sudah 14 bulan menjalani hukuman penjara ketika ini.

Anak lelaki Najib, Datuk Mohamad Nizar Najib yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pramu Jaya dan Exco Kerajaan Negeri Pahang melahirkan rasa hiba tidak terhingga dengan apa yang dilalui bapanya akibat konspirasi politik.

Dalam masa yang sama, beliau cukup terharu melihat lebih ramai rakyat biasa berjuang mahu melihat Najib dibebaskan berbanding segelintir yang rapat dan mengenali bapanya.

“Beliau telah teraniya kerana orang sekeliling beliau. Ramai yang dulu mahu berjuang bersama-sama kini sudah lari lintang pukang. Kalau hendak pergi, pergilah. Kami ada anda, rakyat jelata yang masih ingat dengan setiap jasa beliau. Rakyat sentiasa ingat padanya.

“Hari ini hujan lebat namun itu tidak halang anda sekelian untuk hadir kerana anda semua sayangkan Datuk Seri Najib. Keluarga kami sebenarnya bukan sahaja terharu sebaliknya cukup berterima kasih dengan anda semua. Kami ada kamu untuk teruskan perjuangan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan kira-kira 500 penyokong Najib di Dewan Bear Kelab Sultan Sulaiman pada Perhimpunan #Demi Najib anjuran bersama Akademi Wasatiyyah Madani dan Team NR malam tadi.

Kata Mohamad Nizar lagi, Najib sudah bergelumang dalam dunia politik selama lebih 46 tahun, adalah mustahil bapanya langsung tidak berjasa kepada rakyat sekaligus membangunkan negara ini.

“46 tahun beliau (Najib) dalam politik, tidak adakah jasa beliau yang boleh kita katakan? Kami mohon sangat-sangat pada anda semua, ayahanda Najib memerlukan sokongan rakyat, sokongan anda semua.

“Sebagai keluarga, kami tidak akan berhenti berjuang sehinggalah beliau keluar dari tirai besi itu tetapi kami mohon kepada rakyat untuk bersama-sama berjuang dengan kami.

“Kami tidak minta penyokong guling di jalanan, terbalikkan kereta cukuplah sekadar bercerita tentang jasa beliau. Jika kami sebagai ahli bercerita, mungkin ianya biasa sahaja. Tetapi jika rakyat, ianya luar biasa,” ujarnya beremosi.

Dalam pada itu, Mohamad Nizar juga memaklumkan walaupun Najib kini berada di penjara, jauh dari keluarga dan rakyat yang amat disayanginya namun fikiran serta jiwanya sentiasa mengingati mereka.

“Ayahanda Najib sihat, kuat semangat masih boleh senyum, beliau habiskan masa dengan buat banyak perkara termasuklah menghayati agama, bersenam, membaca malah sudah sambung belajar dengan universiti terkemuka Malaysia,” ujarnya.