Ning Baizura minta netizen jangan tutup periuk nasi

Ning Baizura minta netizen jangan tutup periuk nasi

 

Penyanyi Ning Baizura memohon orang ramai agar tidak terus mengecam dan menuduhnya tidak sensitif dengan situasi yang sedang berlaku di Palestin.

Menurut Astro Gempak, Ning bukan sengaja mendiamkan diri daripada bersuara tentang isu ‘All Eyes on Rafah’ ketika siaran langsung baru-baru ini, namun dia perlu mengambil masa untuk menghadam situasi yang tular itu dengan rasional.

“Saya mengambil masa untuk menghadam selepas apa yang berlaku. Tetapi tidak perlulah melatah atau menghukum seseorang.

“Terpulanglah pada anda semua untuk fikir apa sahaja tentang diri saya tetapi janganlah tutup periuk nasi saya.

“Apa yang saya buat ini adalah tulus Ikhlas datang dari hati. Kalau nak terima, terimalah. Yang penting, Allah SWT sahaja yang tahu,” ujarnya.

Ning turut menegaskan dirinya antara selebriti yang aktif menyalurkan sumbangan untuk Gaza dan bersoladiriti untuk Palestin.

“Saya bukan hendak melakukan justifikasi terhadap apa yang saya lakukan untuk membantu mengisi dana tabung Palestin.

“Tetapi sebagai manusia, anda perlu menilai sesuatu perkara daripada kedua-dua pihak. Kita harus melihat dan selidik dahulu sebelum kita nak mengeluarkan kata-kata yang sangat keras di IG.

“Segelintir pengikut saya tampil bersuara. Terima kasih atas sokongan anda dan kepada mereka yang bukan peminat, macam-macam perkataan tidak baik dan tidak sedap yang keluar untuk ibu dan anak saya dengar yang bagi saya agak mengarut,” katanya.