Ngeri! Lelaki dilapor maut, mayat diseret & tersepit pada tayar Myvi

Ngeri! Lelaki dilapor maut, mayat diseret & tersepit pada tayar Myvi

 

Seorang lelaki dilaporkan maut dan mayatnya tersepit pada tayar bahagian belakang sebuah kereta Perodua Myvi dalam kemalangan ngeri yang berlaku di 58 Jalan Jementah-Muar petang tadi.

Memetik laporan Kosmo, lelaki berusia 40-an itu maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah kereta sebelum diseret dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang.

Siasatan awal mendapati bahawa kereta Perodua Myvi yang dipandu seorang warga emas berusia 80-an tersebut sedang dalam perjalanan dari arah Jementah menghala Segamat.

“Semasa tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang lelaki itu disyaki keluar secara tiba-tiba ke laluan kereta berkenaan.

“Penunggang tidak sempat mengelak lalu merempuh bahagian belakang kiri kereta tersebut sebelum terjatuh lalu terseret dan tersangkut pada tayar belakang,” kata Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Bahrin Mohd. Noh ketika dihubungi Kosmo.

Menurutnya lagi, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas diperiksa pasukan perubatan dari Klinik Kesihatan Jementah.

Tambahnya, mangsa telah dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas hasil bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Orang yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kemalangan tersebut diminta tampil membuat laporan di mana-mana balai atau Balai Trafik Segamat.